Johor Darul Ta’zim Lepaskan Hadi Fayyadh
- Piala Malaysia
- Sep 2, 2018
- No comment
Juara Liga Super musim 2018, Johor Darul Ta’zim mengambil keputusan untuk melepaskan penyerang skuad bawah 23 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak bagi memberi laluan kepada pemain tersebut membuat pilihan mengenai masa depan beliau.
JDT mengumumkan perkara tersebut melalui media sosial, Johor Southern Tigers. Pengarah Sukan Johor Darul Ta’zim, Alistair Edwards berkata pihak kelab melepaskan Hadi bagi memberi laluan kepada pemain itu untuk membuat pilihan.
Sumber Gambar: JST
Tambah Edwards, pihak kelab terpaksa melepaskan Hadi kerana kesungguhan beliau yang mahu pergi ke Jepun bagi mengikuti sesi ujian bersama salah sebuah kelab J League, Ruasso Kumamoto bulan lalu.
Pihak kelab juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Hadi Fayyadh selepas mengumumkan pelepasan Hadi.
Setelah melepaskan Hadi, Johor Darul Ta’zim kini sedang mencari pengganti kepada beliau bagi membantu Johor Darul Ta’zim II mengharungi baki saingan Piala Cabaran 2018.
Bulan lalu, Hadi telah berangkat ke Jepun bagi menjalani ujian bersama Ruasso Kumamoto. Selama enam hari berada di sana, Hadi berjaya menjaringkan dua gol pada satu perlawanan persahabatan.
Walaupun telah dilepaskan, masih belum ada maklumat lanjut mengenai masa depan Hadi sama ada beliau akan menyertai pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia ataupun mendapat kontrak profesional bersama Ruasso Kumamoto.
Apa yang pasti, ini merupakan peluang keemasan bagi Hadi untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi setelah hanya beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini.
Apa pendapat anda mengenai keputusan Johor Darul Ta’zim yang melepaskan penyerang mereka, Hadi Fayyadh Abdul Razak? Adakah keputusan yang diambil JDT adalah satu keputusan yang tepat? Atau mereka sepatutnya menunggu sehingga musim 2018 berakhir untuk melepaskan Hadi?
Baca Juga: Enam Hari Paling Bermakna Buat Hadi