KAFA Harus Lebih Berhati-Hati
- Liga Perdana
- Nov 28, 2018
- No comment
Bekas pemain pasukan Kelantan, Anizan Daud menasihati Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA)untuk lebih berhati-hati dalam memilih pemain yang akan membawa cabaran pasukan dalam saingan Liga Perdana musim hadapan.
Menurut Anizan, Yusri Che Lah selaku pengendali pasukan harus mengelakkan pemilihan pemain terutamanya pemain import tidak seperti musim-musim sebelumnya dimana pemain yang dibawa masuk hanya suam-suam kuku sahaja.
“Kafa dan Yusri Che Lah perlu belajar dari kesilapan musim ini apabila mahu mengambil pemain import, contohnya musim ini hampir 5 sehingga 7 pemain import yang diambil oleh Kafa secara bertukar ganti akibat tiada kualiti dan kecederaan.
“Jangan beli pemain import hanya melihat kepada video atau hanya mendapatkan maklumat melalui ejen-ejen pemain import yang bakal diambil untuk menyarungi jersi The Red Warriors (TRW), habiskan duit sedikit untuk tengok dengan mata sendiri,” katanya menurut laporan Utusan.
KAFA sebelum ini memberikan kuasa sepenuhnya kepada Yusri untuk memilih pemain yang akan dibawa masuk bagi memastikan Kelantan menepati sasaran yang telah diletakkan oleh KAFA iaitu berada dalam kedudukan dua pasukan terbaik Liga Perdana.
Selain meminta untuk lebih berhati-hati, Anizan juga berharap dengan kuasa penuh diberikan kepada Yusri dari segi pemilihan pemain, tiada lagi tangan ghaib yang boleh memporak-porandakan pasukan seperti yang terjadi sebelum ini.
“Berikan kuasa penuh kepada dia (Yusri Che Lah) untuk memilih dan kenalpasti pemain untuk diadukan bersama perancangan dan kemahiran dimilikinya , jauhi sikap ‘tangan ghaib’ dalam aspek ini sekiranya tidak mahu rugi ketika mendapatkan pemain import.
“Budaya itu (tangan ghaib) yang selalu menghancurkan bola sepak kerana pihak tersebut bukan mahu menyediakan perkhidmatan pemain yang berkualiti namun lebih kepada mengambil keuntungan.”
“Pilih pemain yang ada kemampuan untuk membantu pasukan, lihat secara terperinci pemain yang bakal diambil, pastikan mereka tidak berada dalam kecederaan dan pastikan pasukan Kelantan bukan tempat mereka untuk singgah bagi memulihkan kecederaan,” tambah Anizan yang beraksi bersama Kelantan pada era 90an.
Baca Juga: Yusri Che Lah Kekal Kemudi Pasukan Kelantan