KAFA Tunggu Kata Putus Dari Yusri Che Lah
- Liga Perdana
- Dec 4, 2018
- No comment
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih menunggu kata putus daripada Yusri Che Lah sama ada beliau masih berminat untuk terus menjadi ketua jurulatih pasukan bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Menurut Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, bekas pemain skuad kebangsaan itu sehingga kini masih belum menandatangani kontrak meskipun tawaran sebagai ketua jurulatih ada diberikan oleh KAFA kepada beliau.
“Kita membuat tawaran tersebut bulan lalu untuk satu tahun lagi kepada beliau bersama pasukan, namun beliau masih belum membuat sebarang kata putus.
“Keputusan pengesahan itu dijangka dapat diketahui selepas beliau (Yusri) pulang dari Makkah pada 9 Disember ini,” katanya ketika dihubungi Utusan.
Yusri menyertai Kelantan pada saingan Liga Malaysia musim 2018 dan beliau memegang jawatan sebagai pembantu jurulatih. Setelah Sathit Bensoh dan Fajr Ibrahim dipecat, Yusri diberi tanggungjawab untuk mengendalikan pasukan.
Di bawah bimbingan Yusri, permainan Kelantan dilihat meningkat dimana adunan pemain muda dan pemain senior berjaya mengembalikan pasukan Kelantan ke jalan yang benar. Meskipun menamampilkan kebangkitan, Kelantan gagal untuk keluar dari zon penyingkiran sekaligus terpaksa beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan.
Bibi Ramjani menambah KAFA menyerahkan sepenuhnya kepada Yusri Che Lah sama ada beliau mahu menerima tawaran yang diberikan ataupun menolaknya.
“Sebelum ini, dia meminta kenaikan gaji dan memaklumkan ada terima tawaran tinggi daripada pasukan dari ibu kota…mungkin perkara itu antara sebab beliau tidak tandatangani tawaran kami.
“Keputusan bagi mengisi jawatan ketua jurulatih perlu dilakukan bersama pihak pengurusan…ia tidak boleh lakukan secara terburu-buru,” tambahnya.
Yusri menjadi pilihan utama peminat setia The Red Warriors untuk terus mengendalikan pasukan musim hadapan kerana Kelantan berjaya mempamerkan kebangkitan sejak dibimbing oleh beliau. Hanya saja nasib tidak menyebelahi juara Piala Malaysia 2012 ini untuk terus kekal bersaing dalam saingan Liga Super musim hadapan.
Untuk makluman, KAFA meletakkan sasaran untuk Kelantan menduduki tangga teratas Liga Perdana sekaligus kembali ke kancah Liga Super.
Baca Juga: Yusri Che Lah Kekal Kemudi Pasukan Kelantan