Kami Pun Nak Menang – Nguyen Van Quyet

Pasukan Vietnam memulakan perang psikologi menjelang pertemuan dengan Malaysia apabila ketua pasukan mereka, Nguyen Van Quyet mengatakan pasukannya tidak akan memberikan sebarang ruang dan memastikan Harimau Malaya pulang dengan tangan kosong.

Menurut Van Quyet, beliau dan rakan sepasukan akan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri iaitu Stadium Nasional My Dinh, Hanoi untuk meraih kemenangan kedua setelah berjaya menewaskan pasukan Laos dengan keputusan 3-0 pada perlawanan pertama.

“Saya hargai rasa hormat yang ditunjukkan oleh Malaysia kepada kami, tetapi saya percaya, kami tidak akan gembira jika hanya mengutip satu mata.

“Kami ada 90 minit untuk berjuang buat rakyat Vietnam, dan tidak kira bagaimana corak permainan lawan kami nanti, kami akan bermain seperti biasa dengan semangat juang tinggi,” kata Van Quyet menurut laporan Utusan.

Dalam masa yang sama, ketua jurulatih pasukan Vietnam, Park Hang-seo berkata beliau tidak percaya kata-kata pengendali pasukan negara, Tan Cheng Hoe yang hanya mahukan satu mata pada perlawanan malam ini.

“Saya tidak fikir dia (Cheng Hoe) hanya mahu satu mata. Dia pasti ke sini untuk mencari kemenangan. Tidak kisah apa yang dia katakan, kami tetap akan bersedia dan menyerang habis-habisan,” kata Park.

Cabaran getir sememangnya menanti pasukan negara malam ini kerana Vietnam dianggap pasukan yang lebih kuat jika dilihat daripada barisan pemain mereka.

Pasukan yang dijuluki The Golden Dragons ini bakal diperkuat oleh pemain yang beraksi dalam perlawanan akhir temasya AFC Bawah 23 Tahun di China pada awal tahun ini iaitu Nguyễn Quang Hải dan Nguyễn Công Phượng.

Selain dua nama di atas, ketua pasukan, Nguyen Van Quyet bakal menjadi pemain yang perlu diberi perhatian kerana pemain ini mampu untuk menjadi pemusnah kepada harapan Malaysia untuk meraih keputusan positif. Pengalaman yang dimiliki oleh pemain yang pernah dikaitkan dengan pasukan Kedah sewaktu beraksi menentang Malaysia sebelum ini pasti digunakan pada perlawanan malam ini.

Setelah menghadapi Vietnam, Malaysia bakal mengakhiri perlawanan peringkat kumpulan dengan menentang pasukan Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 November nanti.

Baca Juga: Ramalan Kesebelasan Utama Malaysia Menentang Vietnam

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *