Kau Balas Madu Dengan Racun -Nidzam Adzha

Bekas ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff tidak menyangka Liridon Krasniqi akan membalas segala bakti dan kerja keras yang ditabur dengan racun yang cukup menyakitkan. Racun yang dimaksudkan ialah Liridon sebelum ini menggelar Nidzam dengan gelaran pengecut.

Tambah Nidzam, beliau hairan mengapa pemain profesional dan dikenali seperti Liridon sanggup untuk mengeluarkan kenyataan dengan melemparkan kritikan dan juga kecaman di media sosial.

“Saya hairan beliau sanggup meluahkan kecaman sedemikian kepada saya sedangkan saya sentiasa menghormati corak permainannya sebelum ini dan sebagai jurulatih sebelum ini tiada pula timbul isu sebegini.”

“Saya kesal dengan kenyataannya dan saya merasakan kecaman dilakukan ini tidak baik ke atas saya dan tidak mencerminkan sikap profesonalisma serta etika seorang pemain bola sepak tambahan ini melibatkan nama KFA dan Kedah.”

“Sebagai jurulatih saya sayangkan semua pemain dan saya telah berkorban mencurahkan sepenuh tenaga demi memastikan kejayaan Kedah sejak mula mengendalikan pasukan Piala Presiden Kedah pada 2012 dan selepas itu skuad Lang Merah bermula 2015 lagi,” katanya kepada Berita Harian.

Sebelum ini, Liridon melabel Nidzam Adzha sebagai pengecut melalui satu post di Instagram Story milik beliau kerana telah meninggalkan pasukan ketika mereka berada pada prestasi yang tidak begitu baik. Nidzam digantikan kerana prestasi buruk pasukan dalam saingan Piala Malaysia 2018.

Tindakan Liridon ini turut mengundang kecewa seorang lagi bekas ketua jurulatih Kedah, Azraai Khod Abdullah. Azraai menyifatkan tindakan Liridon itu sebagai satu tindakan yang tidak profesional.

“Walaupun kita tahu kebiasaan dalam pasukan bola sepak ini terdapat perhubungan yang kadang kala keruh dan sebagainya tetapi sebagai seorang pemain dia sentiasa perlu menghormati jurulatih.”

“Saya turut simpati dengan Nidzam kerana selepas beliau menabur bakti kepada pasukan, beliau akhirnya dikritik dengan kata-kata yang memalukan,” kata Azraai.

Pada masa yang sama, Nidzam Adzha Yusoff akan meminta nasihat dari Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) serta Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) sebagai badan rujukan untuk tindakan seterusnya.

Baca Juga: Mat Don Gelar Nidzam Sebagai Pu**y

Leave a comment

Your email address will not be published.