KBS Sedia Bantu Penyokong Untuk Awayday

Setelah Harimau Malaya berjaya melayakkan diri ke pentas perlawanan akhir saingan Piala AFF Suzuki 2018, Kementrian Belia dan Sukan (KBS) sedia membantu penyokong yang mahu bertandang ke tempat lawan pada 15 Disember nanti.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan perkara ini di Instagram milik beliau sejurus selepas perlawanan antara Malaysia menentang Thailand tamat.

Syed Saddiq berkata KBS akan berusaha untuk mendapatkan penerbangan khas bagi perlawanan di tempat lawan pada kadar yang berpatutan dengan kerjasama daripada syarikat penerbangan.

Untuk perlawanan separuh akhir kedua, syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia menubuhkan satu inisiatif apabila menyediakan penerbangan dengan tambang berpatutan bagi penyokong Harimau Malaya bertandang ke Bangkok.

Inisiatif tersebut nyata disambut baik oleh para peminat dan mereka menggesa syarikat penerbangan lain seperti Malaysia Airlines dan Malindo Air untuk menubuhkan inisiatif sama.

Syed Saddiq turut meluahkan kegembiraan beliau setelah pasukan Malaysia mara ke perlawanan akhir dan mengajak penyokong Harimau Malaya untuk memenuhi segenap ruang di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Disember nanti.

”Alhamdulillah dan tahniah kepada Harimau Malaya yang bakal mengaum di final Piala AFF Suzuki 2018. Sama-sama kita banjiri Stadium Nasional Bukit Jalil dengan semangat Negaraku! Ayuh kita gegar rumah kita dengan semangat Harimau Malaya!,” katanya.

Pada masa yang sama, Syed Saddiq juga mengingatkan para penyokong untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir daripada saluran yang betul dan menjaga tatatertib sepanjang berada di sekitar stadium.

“Ingat. KBS tidak akan sesekali berkompromi dengan pesalah ulat tiket, perokok di stadium dan mereka yang membuang sampah merata-rata,” tambahnya.

Sementara menunggu menanti pengumuman penjualan tiket perlawanan akhir, Syed Saddiq berkata Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan menjual ruang tempat khas orang kenamaan (VIP) kepada syarikat korporat dan juga kepada individu yang berminat.

Katanya, pendekatan itu selari dengan agenda KBS yang mahukan agensi dibawahnya menjana pendapatan sendiri serta mengurangkan kebergantungan kepada wang rakyat.

Baca Juga: Malaysia Berhak Ke Pentas Final – Rajevac

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *