Kecergasan Sumareh Menjadi Tanda Tanya

Tahap kecergasan pemain sayap negara, Mohamadou Sumareh menjadi tanda tanya selepas masih belum pasti sama ada beliau dapat diturunkan dalam perlawanan penting saingan peringkat kumpulan A menentang pasukan Vietnam pada esok.

Sumareh tidak diturunkan ketika Malaysia menewaskan pasukan Laos dengan keputusan 3-1 pada perlawanan kedua peringkat kumpulan Isnin lalu dan ketiadaan beliau dalam kesebelasan utama dipercayai akibat kecederaan hamstring.

Menurut ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, beliau masih lagi menunggu mengenai perkembangan kecederaan yang dialami oleh Sumareh dan berharap beliau sempat pulih menjelang perlawanan getir menentang antara pasukan pilihan untuk muncul juara edisi kali ini.

“Kita terima nasihat doktor mengenai tahap kecederaan hamstring (Sumareh), harap dua hari lagi dapat putuskan perkembangan kecederaan dia,” katanya kepada Berita Harian.

Ketiadaan Sumareh dalam kesebelasan utama ketika perlawanan menentang Laos sedikit sebanyak memberi kesan kepada jentera serangan pasukan negara. Pemain yang diturunkan untuk mengisi kekosongan beliau, Syazwan Zainon sedikit bergelut untuk menampilkan permainan terbaik beliau.

Dengan tahap kecergasan Sumareh masih menjadi tanda tanya, andai beliau gagal untuk pulih menjelang perlawanan pada esok, pemain muda negara, Akhyar Rashid berkemungkinan besar bakal mengisi posisi sayap kiri dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan.

Akhyar dimasukkan pada separuh masa kedua ketika perlawanan menentang Laos dan pemain berusia 19 tahun ini membawa impak besar ke atas barisan serangan pasukan negara. Kelincahan Akhyar seringkali mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan dan beliau bakal menjadi senjata rahsia skuad Harimau Malaya andai diturunkan.

Apa yang pasti, para pemain perlu menampilkan aksi terbaik mereka bagi memastikan Malaysia pulang dengan keputusan positif dari bumi Hanoi sekaligus mencerahkan peluang untuk mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir.

Setelah menghadapi Vietnam, pasukan negara akan menerima kunjungan pasukan Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil dan pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe berpeluang untuk menjadi juara kumpulan jika berjaya memenangi baki dua perlawanan peringkat kumpulan.

Baca Juga: Misi Wajib Menang Pasukan Negara Di Hanoi

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *