Kedah Bawa Masuk Enam Pemain Baru

Pasukan Kedah memulakan persiapan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2019 apabila mereka mengumumkan bahawa enam pemain telah sah menyertai pasukan. Perkara ini diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menerusi satu Facebook Live sebentar tadi.

Enam pemain yang dimaksudkan ialah Syahrul Azwari Ibrahim, N.Thanabalan, Shahrul Igwan Shamsuddin, Azmeer Yusof, pemain pertahanan dari Singapura Shakir hamzah dan pemain tengah dari Iraq, Anmar Fares Abdul Jabbar.

Syahrul Azwari menampilkan peningkatan sejak menyarung jersi Melaka United pada pertengahan saingan Liga Malaysia musim ini. Bekas pemain Johor Darul Ta’zim ini menjadi nadi utama pasukan Melaka di bahagian serangan dan beliau membentuk satu gandingan mantap bersama Ifedayo Olesegun dan Lee Chan-hoon.

Selain membawa masuk Syahrul bagi menguatkan jentera serangan, KFA juga menandatangani bekas penyerang skuad bawah 23 tahun negara, N.Thanabalan dan Shahrul Igwan Shamsuddin. Kedua-dua pemain mempunyai pengalaman beraksi di peringkat tertinggi bersama Negeri Sembilan dan Selangor.

Bagi memperkasakan bahagian pertahanan pula, pengurusan pasukan membawa bekas pemain, Azmeer Yusof. Azmer pernah beraksi bersama Kedah dan berjaya memenangi Piala Malaysia edisi 2016. Selain Azmeer, Kedah turut membawa masuk seorang pemain import di bahagian pertahanan iaitu Syakir Hamzah.

Musim 2018 merupakan musim terbaik bagi Syakir dimana beliau berjaya memenangi perlawanan akhir bagi Zon Asean saingan Piala AFC 2018. Syakir juga pernah memenangi kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia lebih tepatnya memenangi trofi Liga Super musim 2013 bersama Lions-XII.

Bagi kuota pemain import Asia pula, pemain tengah dari Iraq, Anmar Fares Abdul Jabbar dibawa masuk bagi mengisi slot tersebut. Anmar Fares beraksi dalam saingan Thai League 1 musim ini bersama pasukan Thai Army United.

Pada masa yang sama, KFA turut mengumumkan bahawa dua pemain senior, Baddrol Bakhtiar dan Khairul Helmi Johari kekal bersama pasukan untuk semusim lagi manakala pemain tengah, Halim Shaari mengikut jejak langkah Syazwan Zainon dengan menyertai pasukan Selangor.

KFA juga berjaya membawa masuk tiga lagi pemain import namun mereka tidak boleh mengumumkan nama pemain tersebut kerana masih lagi terikat kontrak dengan pasukan asal.

Baca Juga: 5 Destinasi Yang Sesuai Untuk Thiago Augusto

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *