Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 Dan Perubahannya
- Harimau Malaya
- Feb 27, 2018
- No comment
Sebagai peminat bolasepak, terutamanya penyokong setia Harimau Malaysia, kejohanan AFF Suzuki yang bakal berlangsung pada akhir tahun ini amat dinanti-nantikan. Kenangan 8 tahun lepas apabila pasukan kebangsaan berjaya mengalahkan seteru dan jiran utama, Indonesia menerusi agregat 4-2 pasti sukar untuk dilupakan. Semenjak sejarah kejohanan ini, Malaysia berjaya melangkah ke perlawanan akhir sebanyak tiga kali, di mana dua kali menjadi naib juara pada edisi sulung tahun 1996 dan tahun 2014. Thailand dan Kiatisuk Senamuang menjadi penghalang bagi kedua-dua edisi tersebut apabila beliau menjaringkan gol tunggal pada perlawanan akhir tahun 1996, dan menjadi jurulatih pasukan kebangsaan Thailand pada tahun 2014.
Sumber Gambar: The Malaysian Times
Namun tahukah anda, mulai tahun 2018 ini, format perlawanan Piala AFF Suzuki ini akan berubah seiring dengan perkembangan zaman ? Adakah semakin menarik perubahan tersebut, ataupun ianya hanya seperti melukut di tepi gantang ?
Kejohanan Akan Disertai oleh 10 Negara
Jika pada edisi sulung sebelum ini, 10 buah negara Asia Tenggara bertanding dengan 6 negara pengasas Persatuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF), iaitu Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Malaysia, SIngapura dan Thailand (keenam-enam negara menubuhkan AFF pada tahun 1984), dan menjemput 4 negara luar AFF (Kemboja, Laos, Myanmar, Vietnam). Keempat-empat negara kemudian bergabung dengan AFF pada tahun 1996.
Selepas edisi 1996 itu, jumlah penyertaan negara Asia Tenggara berubah sepanjang tahun, seperti 8 negara (1998, 2007, 2008, 2010, 2012, 2014, 2016), 9 negara (2000, 2002) dan 10 negara (2004). Timor Leste dan Australia menjadi negara ahli AFF kesebelas dan keduabelas pada tahun 2004 dan 2013. Namun Australia memilih untuk tidak bersaing di dalam kejohanan ini. Namun pada edisi 2018, 10 buah negara akan bersaing di dalam kejohanan AFF Suzuki ini, dengan 9 negara telah mengesahkan tempat ke peringkat kumpulan.
Hanya Dua Negara Di Dalam Kelayakkan
Kesemua negara ahli AFF, kecuali Australia akan bersaing di dalam kejohanan ini, sama ada melalui perlawanan kelayakan ataupun automatik ke peringkat kumpulan. Namun untuk edisi 2018 ini, hanya 2 negara yang akan berlawan di perlawanan kelayakan pada bulan September nanti, iaitu
Brunei Darussalam dan Timor Leste. Kedua-dua negara merupakan 2 negara dengan ranking Asia Tenggara terendah. Perlawanan kelayakan akan diadakan secara timbal balik pada awal September, dengan pemenang di antara kedua negara akan layak ke peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki.
Jadi kita semua sudah tahu dan pasti bahawa Malaysia akan layak secara automatik ke peringkat kumpulan, walau ranking Asia Tenggara kita berada pada kedudukan 9 daripada 12 buah negara (8 daripada 11, kalau tak termasuk Australia).
Tiada Sistem Tuan Rumah Bagi Setiap Kumpulan
Pada 3 edisi pertama kejohanan AFF Suzuki, hanya satu tuan rumah akan dipilih untuk menganjurkan perlawanan peringkat kumpulan dan kalah mati. Bermula edisi 2002, sistem 2 tuan rumah peringkat kumpulan akan dipilih dan kedua-dua negara tersebut akan layak secara automatik walau mendapat ranking terendah di Asia Tenggara.
Bermula edisi 2018 ini, tiada sistem tuan rumah bagi kedua-dua kumpulan. Tuan rumah hanya ditetapkan pada perlawanan kumpulan tersebut, di mana sesebuah negara akan berlawanan sebanyak 2 perlawanan home dan 2 perlawanan away. Misalkan, Malaysia diundi bertemu Brunei Darussalam, Kemboja, Myanmar dan Laos pada kumpulan A.
– Malaysia vs Brunei Darussalam akan diadakan di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan
– Malaysia vs Kemboja akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur
– Malaysia vs Myanmar akan diadakan di Stadium Thuwunna, Yangon
– Malaysia vs Laos akan diadakan di Stadium Shah Alam, Shah Alam
Jadi, setiap negara akan mendapat peluang menjadi tuan rumah sebanyak dua perlawanan. Perkara ini tercetus pada bulan Mac 2016, di mana AFF sedang memikirkan perubahan dalam format kejohanan kerana kegagalan untuk menarik orang ramai untuk perlawanan yang tidak melibatkan
negara tuan rumah. Seperti rekod perlawanan peringkat kumpulan A edisi 2016, di mana perlawanan tuan rumah Filipina sentiasa mendapat kehadiran di atas 2000 penonton (rekod terendah semasa melawan Indonesia, 2068 penonton), sementara perlawanan lain hanya mendapat jumlah penonton tidak sampai 2000 penonton (rekod tertinggi semasa Thailand vs Indonesia, 1153 penonton).
Kesimpulan
Format perlawanan peringkat kumpulan ini mengingatkan saya kepada perlawanan Piala UEFA sebelum kejohanan tersebut diubah kepada Liga Europa. Kejohanan Piala UEFA juga menggunakan sistem ‘single round-robin format’ semenjak musim 2004-05, sebelum diubah pada musim 2009-10 dengan sistem seperti sekarang. Secara pandangan peribadi penulis, sistem ini dilihat mampu menarik penyokong untuk turun ke stadium menyokong pasukan kebangsaan masing-masing, dan tidak perlu mengharap pasukan kebangsaan untuk layak ke pusingan kalah mati untuk turun ke
stadium sahaja.
Tapi, kalau Malaysia dipilih sebagai tuan rumah, kemungkinan tiada masalah untuk penyokong lawan turun ke sini. Sebab hampir semua warganegara negara-negara Asia Tenggara berada di Kuala Lumpur dan Shah Alam. Nak harapkan Kemboja jadi tuan rumah, mana ada penyokong lawan turun ke Stadium Olimpik, Phnom Penh. Yang ada mungkin penyokong negara jiran seperti Vietnam, Laos atau Thailand.
Baca Juga: UEFA Nations League
Nota: Artikel ini ditulis oleh Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan pensyarah di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia. Beliau juga penyokong pasukan Negeri Sembilan FA dan UKM FC.