Kelantan Impikan Peringkat Suku Akhir – Yusri Che Lah

Layak ke peringkat suku akhir akan menjadi pencapaian terbaik pasukan Kelantan musim ini. Itulah kata-kata ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah menjelang pertemuan menentang pasukan Kedah pada Ahad ini. Hanya kemenangan akan mengesahkan tempat Kelantan di peringkat seterusnya.

Kelantan akan berdepan dengan naib juara, pasukan Kedah yang hanya perlukan keputusan seri untuk mara. The Red Warriors perlu mencatat kemenangan dengan menjaringkan lebih daripada dua gol.

“Tempoh rehat dua minggu selepas perlawanan terakhir dengan MIFA digunakan sebaik mungkin untuk memperkemaskan jentera serangan pasukan yang dilihat masih buntu dengan hanya satu gol dalam lima perlawanan,” kata Yusri.

“Malah kepulangan semula Nik Akif Syahiran dan Baktiyar (Duyshobekov) diharap berupaya mengimbangi kekuatan lawan yang diketuai Sandro Da Silva, Akhyar Rashid dan Liridon Krasniqi.

“Nik Akif dan Baktiyar akan mengemudi bahagian tengah pasukan untuk menyaingi kekuatan bahagian tengah Kedah yang diketuai Baddrol Bakhtiar,” kata Yusri kepada Berita Harian.

Kelantan wajib untuk menewaskan Kedah jika mereka mahu melangkah ke peringkat suku akhir. Pada perlawanan Ahad nanti, Yusri akan mempertaruhkan Nik Azli dan Cristiano Santos di bahagian serangan bagi merobek gawang Kedah.

Yusri juga memuji benteng pertahanan yang diisi oleh Farisham Ismail dan Cassio de Jesus dimana gandingan ini hanya melepaskan tiga gol dalam lima perlawanan peringkat kumpulan.

“Sekiranya Kelantan layak ke suku akhir ia satu pencapaian terbaik pasukan musim ini walaupun dibarisi pemain muda yang masih cetek pengalaman,” tambah Yusri.

Peluang keempat-empat pasukan untuk mara ke peringkat suku akhir masih lagi terbuka. Apa yang pasti, mereka harus mengutip tiga mata penuh bagi memastikan slot ke peringkat seterusnya terjamin.

Apa pendapat anda mengenai peluang pasukan Kelantan untuk mara ke peringkat suku akhir dimana mereka akan menentang pasukan Kedah pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan ? Mampukah mereka menewaskan pasukan Kedah sekaligus mara ?

Ataupun perjalanan Piala Malaysia Kelantan pada edisi 2018 akan berakhir di peringkat kumpulan ?

Baca Juga: Kami Mahu Menang – Sandro Da Silva

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *