Kelantan Perlukan Penyerang Berbisa – Jorg Steinebrunner

Pengarah teknikal pasukan Kelantan, Jorg Peter Steinebrunner berpendapat skuad The Red Warriors memerlukan penyerang berbisa bagi memastikan barisan serangan tidak tumpul dan mereka memberikan cabaran kepada pasukan lain dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Menurut Jorg, selain memperkasa barisan serangan, pemain serangan yang dimaksudkan juga perlu membimbing pemain muda yang turut beraksi di posisi tersebut.

“Berpandukan kepada persembahan semalam, saya nampak kita perlukan penyerang berkualiti.

“Masih terlalu awal untuk menilai keupayaan Diego Silva yang baharu sahaja beberapa hari menjalani latihan bersama TRW,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Pada perlawanan persahabatan menentang pasukan Terengganu FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan berjaya mengikat seri finalis Piala Malaysia 2018 itu dengan keputusan seri 1-1.

Tambah Steinebrunner, beliau mahu memberi lebih banyak peluang untuk Diego Silva bagi menampilkan kemampuan sebenar sebelum Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memberikan sebarang kontrak kepada penyerang dari Brazil itu.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan yang diperagakan oleh barisan pemain muda Kelantan setakat ini.

“Mereka berjaya menyerap tekanan dengan mengimbangi kekuatan lawan pada perlawanan itu,” tambahnya.

Pasukan Kelantan belum mempunyai pemain yang bakal meneraji bahagian serangan dalam saingan Liga Malaysia musim ini. Musim lalu, ada Cristiano Santos dan Shafiq Shahrudin yang seringkali diturunkan dalam kesebelasan utama.

Namun, KAFA mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak Cristiano manakala Shafiq memilih untuk berhijrah dengan menyertai PKNS FC.

Selain belum mempunyai penyerang utama, Kelantan juga belum mempunyai ketua jurulatih bagi mengendalikan pasukan. Untuk sementara waktu, Jorg Peter Steinebrunner akan terus mengendalikan pasukan sehingga KAFA melantik ketua jurulatih baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Yusri Che Lah.

Baca Juga: Bagaikan Satu Penderaan – Badhri Radzi

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *