Kelantan United Sedia Tampung Piya

Pasukan yang beraksi dalam saingan Liga M3, Kelantan United sedia untuk memberikan ruang kepada bekas pemain tengah Kelantan, Badhri Radzi jika benar beliau mahu meninggalkan pasukan Perlis Northern Lions.

Piya dikhabarkan bakal angkat kaki selepas Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) gagal untuk mengotakan janji mereka dimana mereka memberi jaminan akan membayar gaji pertama bagi pemain musim 2019 sebelum Perlis turun pada perlawanan pertama Liga Perdana 2019 menentang pasukan UKM FC.

Menurut laporan Fox Sport Asia, meskipun Piya sudah mencapai status veteran dan sudah berada di penghujung karier, namun Kelantan United tetap menganggap pemain itu mempunyai aura tersendiri dan pengalamannya diyakini dapat memperkasa perjuangan skuad kendalian Zahasmi Ismail.

“Kita ada terbaca mengenai keluhan Piya, sudah tentu ia bukan satu pengakhiran karier yang baik untuk seorang pemain yang telah begitu banyak berjasa. Dia mengharungi detik sukar pada musim lalu bersama Kelantan dan tahun ini pula segalanya seolah seperti tidak kena.

“Kelantan United ketika ini sedang gigih mempersiapkan pasukan, kita mahu memburu tempat ke Liga Premier dan sudah tentunya pengalaman seorang pemain seperti Piya amatlah diperlukan.

“Kita bukan sebuah pasukan besar dan kita juga mungkin tidak boleh menawarkan gaji yang terlalu tinggi. Tetapi saya percaya jika Piya datang ke sini, dia tidak akan terasa asing, Kota Bharu adalah tempatnya dan dia adalah ikon, legenda negeri kita.

“Semua di sini sudah seperti keluarganya juga, dari barisan pemain hingga ke barisan kejurulatihan, semua ada hubungan baik dengannya. Jadi biarlah dia bermain dan noktahkan karier di sini,” ujar sumber tersebut.

Piya sebelum ini memberi amaran kepasa pengurusan pasukan Perlis dimana mereka perlu membayar gaji pertama pemain setelah aksi menentang UKM FC.

Setelah memberikan kenyataan itu, Piya tidak tersenarai dalam skuad yang menghadapi UKM dan khabar angin mengatakan Piya semakin hampir untuk meninggalkan pasukan Perlis.

Pada perlawanan itu, Perlis terpaksa menelang kekalahan pada perlawanan pertama Liga Perdana 2019 apabila tewas dengan jaringan 2-1.

Baca Juga: Hutang Lapuk KAFA Ditanggung Pengurusan Baru

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *