Kelincahan Safawi-Akhyar Senjata Utama Negara

Dua pemain skuad bawah 23 tahun negara, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid menjadi nadi utama pasukan negara pada temasya Sukan Asia 2018 apabila kelincahan kedua-dua pemain ini sering-kali menyukarkan barisan pertahanan lawan. Pada aksi menentang Jepun esok, kemampuan Pawi dan Mat Yat sekali lagi ditagih bagi memastikan Malaysia layak ke peringkat suku akhir.

Malaysia membuka tirai kumpulan E dengan langkah kanan apabila menewaskan Kyrgyztan dengan keputusan 3-1. Safawi dan Akhyar menampilkan aksi yang cemerlang dengan berjaya menyumbang satu gol pada perlawanan ini.

Larian pantas serta gelecekan kedua-dua pemain ini sukar untuk dibendung pemain pertahanan Kyrgyztan.

Pada perlawanan kedua peringkat kumpulan, Malaysia berjaya mengejutkan juara bertahan, Korea Selatan apabila dua gol Safawi memastikan pasukan negara melangkah ke peringkat 16 pasukan terakhir dan menjadi juara kumpulan.

Ketika menewaskan Korea Selatan, pasukan negara bergantung kepada kelajuan yang dimiliki oleh Safawi dan Akhyar bagi melancarkan serangan balas ke kubu pertahanan pasukan lawan. Percaturan tersebut nyata membuahkan hasil sekaligus mengejutkan pasukan yang mempunyai Son Heung-min dalam pasukan mereka.

Safawi dan Akhyar dimasukkan pada minit-minit terakhir perlawanan ketika Malaysia tewas kepada Bahrain. Pada perlawanan tersebut, Akhyar sering-kali mendapat terjahan keras daripada pihak lawan.

Mujur pemain Kedah ini tidak mengalami kecederaan serius dan sudah sedia untuk diturunkan pada perlawanan esok.

“Saya rasa tiada masalah besar dengan kecederaan ini, cuma kejang sedikit sebab bermain dua perlawanan penuh. Saya berharap tempoh rehat beberapa hari sebelum menentang Jepun mencukupi,” katanya kepada Berita Harian.

Apa yang pasti, kelincahan Safawi dan Akhyar akan menjadi senjata utama negara untuk merobek gawang pasukan Jepun. Meskipun pasukan lawan mempunyai mutu yang sedikit lebih tinggi berbanding pasukan neggara, namun tiada apa yang mustahil sekiranya pemain negara mempamerkan prestasi seperti mana ketika menewaskan Kyrgyztan dan Korea Selatan.

Apa pendapat anda mengenai kelincahan yang dimiliki oleh Safawi Rasid dan Akhyar Rashid ? Mampukah kedua-dua pemain mengkucar-kacirkan pertahanan pasukan Jepun sekaligus membantu Malaysia mara ke peringkat suku akhir ?

Baca Juga: Ini Semua Hasil Kerja Keras Pemain

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *