Kemana Destinasi Hafiz Ramdan Yang Seterusnya ?
- Liga Super
- Jan 4, 2019
- No comment
Destinasi pemain sayap lincah PKNP FC, Hafiz Ramdan masih menjadi tanda tanya sama ada beliau kekal berbakti bersama pasukan yang telah menaikkan nama beliau atau kembali memperkuat pasukan Perak dalam saingan Liga Malaysia musim 2019.
Hafiz sebelum dikaitkan dengan kepulangan ke pangkuan Perak bagi saingan musim ini setelah menampilkan persembahan mantap sepanjang saingan Liga Malaysia musim lalu terutamanya dalam Liga Super.
Setelah pemergian Shahrel Fikri yang menyertai kelab Thai League 1, Nakhon Ratchasima FC secara pinjaman selama lima bulan, Hafiz menjadi sandaran utama PKNP untuk bersaing dalam Liga Malaysia dan beliau juga diangkat menjadi ketua pasukan menggantikan Shahrel.
Nyata prestasi pemain berusia 25 tahun ini tidak mengecewakan. Hafiz berjaya memikul tanggungjawab dan beliau membantu PKNP kekal dalam saingan Liga Super. Lebih manis lagi, musim 2018 merupakan musim pertama kelab yang ditubuhkan pada 2016 ini beraksi di pentas tersebut.
Selain cemerlang dalam saingan Liga, pemain yang mesra dengan panggilan kancil ini turut beraksi dengan baik dalam saingan Piala Malaysia. Pada perlawanan peringkat kumpulan menentang juara 33 kali Selangor, Hafiz bermain bola sepak terbaik beliau dimana ketika itu beliau berjaya menjaringkan satu gol.
Bukan sahaja menjaringkan gol, namun Hafiz berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan Selangor sehingga mereka tiada jawapan tentang bagaimana untuk menghentikan asakan yang dilancarkan barisan serangan PKNP.
Setakat ini, hanya Shahrel Fikri sahaja yang dipastikan akan menyarung jersi juara Piala Malaysia 2018 itu bagi saingan musim 2019. Terdapat juga ura-ura di media sosial mengatakan Hafiz akan kekal bersama PKNP dan hanya Eki saja yang akan menyertai pasukan Perak.
Apa yang pasti, destinasi Hafiz Ramdan yang seterusnya haruslah pasukan yang mampu untuk menawarkan tempat dalam kesebelasan utama dan pasukan tersebut mestilah beraksi di peringkat tertinggi.
Ini kerana Hafiz berpotensi untuk menjadi pemain sayap terbaik dalam Liga Malaysia dan beliau juga wajar diberikan peluang untuk tampil bersama pasukan kebangsaan pada masa akan datang. Kualiti dserta kebolehan beliau mampu untuk memperkasakan lagi skuad Harimau Malaya.
Baca Juga: Hafiz Kamal Cuba Nasib Bersama PKNP FC