Kemana Hala Tuju Zafuan Azeman ?

Hala tuju bekas penyerang skuad bawah 19 tahun negara, Zafuan Azeman menjadi tanda tanya setelah beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan PKNP FC selepas 72 jam menyertai pasukan tersebut.

Setelah pulang daripada menjalani ujian bersama kelab yang beraksi dalam saingan Serie B Itali, Venezia FC, Zafuan menyertai pasukan Perlis yang ketika itu menjalani revolusi besar-besaran dibawah pentadbiran Datuk Ahmad Amizal Shaifit.

Namun, beliau beserta seorang lagi pemain, Faris Ramli secara tiba-tiba membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan itu. Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dalam satu kenyataan mengatakan mereka telah bersetuju kedua-dua pemain ini meninggalkan pasukan bagi menyertai pasukan lain.

Seterusnya, Zafuan menyertai pasukan Pulau Pinang dimana beliau telah beraksi dalam beberapa siri perlawanan pra musim. Tak lama kemudian, peminat bola sepak tanah air dikejutkan dengan perpindahan Zafuan yang menyertai pasukan bimbingan Abu Bakar Fadzim, PKNP FC.

Pelbagai khabar angin beredar mengenai keputusan Zafuan yang menyertai PKNP FC. Ada yang mengatakan pemain berusia 20 tahun ini meminta gaji yang terlalu tinggi kepada pengurusan pasukan Pulau Pinang dan mereka tidak mampu untuk memenuhi permintaan Zafuan.

Namun, kejutan tidak berhenti di situ. Selepas 72 jam menyertai PKNP, pasukan yang berpengkalan di Manjung itu kemudiannya memuat naik satu gambar dimana gambar tersebut tertera gambar Zafuan dan PKNP mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.

Kini, setelah jendela perpindahan pertama Liga Malaysia musim ini secara rasminya ditutup pada 20 Januari lalu, Zafuan berstatus ejen bebas tanpa sebarang kelab.

Sementara menunggu jendela perpindahan kedua Lga Malaysia dibuka, apa yang boleh dilakukan oleh Zafuan ketika ini ialah berlatih sendiri dan cuba untuk mempertingkatkan lagi kualiti serta mutu permainan beliau.

Satu lagi kaedah yang boleh dimanfaatkan oleh pemain muda ini ialah beraksi dengan pasukan yang beraksi dalam saingan Liga M3 atau M4. Menjelang bulan Mei nanti, barulah Zafuan boleh merangka semula hala tuju beliau dalam saingan Liga Malaysia.

Baca Juga: Zafuan Azeman Jalani Ujian Bersama Venezia

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *