Kenyataan PFAM Ada Unsur Sabotaj – PFA
- Lain-lain
- Dec 19, 2018
- No comment
Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) menyifatkan ada unsur sabotaj dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) berhubung isu tunggakan gaji yang sedang dialami oleh persatuan itu.
“Seolah-olah ada unsur sabotaj,” kata Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad kepada Berita Harian.
Menurut Datuk Amizal, isu tunggakan gaji sudah diselesaikan dengan menggunakan mekanisma yang sudah dipersetujui dengan semua pemain. Namun beliau tidak menafikan ada sedikit masalah dalam menyelesaikan tunggakan gaji bagi musim 2016 dan 2017.
“Bagi pemain pada musim 2016 dan 2017 mahupun sebelumnya, mereka tidak tertakluk dengan pengurusan baharu namun atas dasar tanggungjawab, saya cuba membantu mereka menyelesaikan masalah ini.
“Jadi, kami sedang mengumpul dokumen yang berkaitan dan kontrak mengenai pemain terdahulu sebelum kami boleh mengambil tindakan. Berilah kami ruang dan masa kerana kami sememangnya tidak mahu lepas tangan terhadap isu ini.
“Cuma apabila kenyataan dikeluarkan PFAM semalam, saya rasa kecewa kerana bukan hanya Perlis berdepan masalah sama, ada lagi pasukan lain turut mengalami masalah ini tetapi hanya Perlis sahaja yang ditekankan dalam kenyataan itu.
“Sebagai presiden PFA, saya beranggapan ini seolah-olah mahu mensabotaj dan cuba menidakkan hak Perlis untuk beraksi dalam Liga Perdana. Apapun, ia boleh diselesaikan dalam suasana yang harmoni dan secara profesional,” kata Datuk Amizal.
Tambah Datuk Amizal, pihaknya mempunyai bajet yang cukup untuk memastikan semua pasukan di bawah pengurusan PFA beraksi sehinggalah berakhirnya musim 2019.
“Kita tidak memiliki dana yang besar tetapi saya memberi jaminan pasukan ini akan terus beraksi sehingga penghujung musim 2019. Kita bukan pasukan yang ada bajet selama tiga bulan dan kemudiannya baru mencari dana tambahan.
“Kita cuba menjadikan Perlis sebagai sebuah syarikat, jadi sudah tentu akan ada keuntungan dan kerugian, Apapun, bagi sepanjang musim 2019 juga, kita akan mencari jalan menjana pendapatan supaya sekurang-kurangnya kita mendapatkan kembali modal yang sudah dikeluarkan,” tambahnya.
Amizal memberi bayangan pasukan itu hanya berbelanja kurang daripada RM10 juta bagi saingan musim hadapan.
Baca Juga: PFAM Bidas Pengurusan Pasukan Perlis