Keputusan J.Suresh Tepat – Subkhiddin Mohd Salleh

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menjelaskan pengadil perlawanan akhir Piala Malaysia 2018, Suresh Jayaraman membuat keputusan tepat mengenai beberapa situasi kontroversi.

Antara keputusan tepat yang dibuat termasuk membatalkan jaringan penyamaan pemain Perak, Leandro Dos Santos pada minit ke-31 dan membenarkan kedudukan penjaga gawang, Hafizul Hakim yang berada di dalam gol sebelum sepakan penalti diambil pemain Terengganu.

Berdasarkan tayangan semula video perlawanan akhir itu, Subkhiddin berkata Leandro didapati menggunakan tangannya untuk menghalang penjaga gol Terengganu, Suffian Rahman daripada mencabar bola.

“Hafizul pula dilihat memijak garisan gol ketika pemain Terengganu melakukan sepakan penalti walaupun dia berada di dalam gol sebelum sepakan dibuat.

“Perkara ini (kedudukan penjaga gawang di dalam gol) subjektif dan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) juga sedang mengkaji mengenainya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Selepas perlawanan akhir itu, Suresh Jayaraman dan Subkhiddin Mohd Salleh menjadi sasaran kritikan pedas peminat. Malah, ada juga yang mahu bekas pengadil FIFA itu melepaskan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil.

Subkhiddin kemudiannya mengambil keputusan untuk melepaskan semua jawatan beliau dalam FAM semalan kerana perkara ini juga menyasarkan ahli keluarga beliau.

“Saya bukan nak mempertahankan pengadil (Suresh), tapi keputusan yang betul kita perlu jelaskan yang ia betul. Jika salah kita perlu akui salah.

“Pada masa sama saya mengakui ada beberapa kelemahan yang masih perlu diperbaiki terutama daripada aspek komunikasi dan mengawal permainan,” tambah Subkhiddin.

Apa yang pasti, dengan peletakan jawatan Subkhiddin, diharapkan kecaman serta kritikan terhadap pengadil paling berpengalaman negara ini dapat dihentikan.

Baca Juga: Subkhiddin Mohd Salleh Letak Jawatan

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *