Kerajaan Negeri Sukar Bantu Terengganu City FC

Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan mereka sukar untuk membantu pasukan Terengganu City FC bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang mencecah hampir RM1 Juta kerana mereka juga berdepan dengan kekangan kewangan.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai isu tunggakan gaji yang dihadapi oleh juara Piala FAM 2018 itu. Namun tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pihaknya.

“Kerajaan negeri menghargai usaha mereka (TCFC) untuk terlibat dalam dunia bola sepak sehingga muncul juara Piala FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) musim lalu.

“Tetapi kerajaan negeri mengalami kesukaran untuk membantu berkaitan sumber kewangan, kerana kita juga ada pasukan yang perlu dijaga bawah Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

“Semua ini memerlukan implikasi kewangan yang agak besar berbanding sukan lain.“

“Namun begitu, kita akan memberi sokongan untuk mendapatkan penajaan, termasuk memberikan surat sokongan untuk membantu pasukan bola sepak luar daripada PBSNT,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sebelum ini, bekas pemain dan pegawai pasukan menggesa kerajaan negeri untuk campur tangan dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji setelah pengurusan pasukan Terengganu City mengambil langkah berdiam diri dan seolah-olah tidak mahu menyelesaikan isu yang timbul.

Semalam, pengurusan baharu TCFC mengesahkan mereka bakal mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membincangkan masalah tersebut dan memberikan jaminan akan menyelesaikan tunggakan gaji secepat yang mungkin.

Namun, mereka meletakkan dua syarat dimana pengurusan lama harus memberikan kuasa penuh kepada pengurusan baru untuk mentadbir pasukan. Syarat yang kedua ialah FAM mengembalikan semula slot Liga Perdana yang seharusnya menjadi milik Terengganu City kerana mereka muncul sebagai juara Piala FAM 2018.

Syarat yang pertama sudah dipenuhi dimana pengurusan lama menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada pengurusan baharu. Kini mereka bakal mengadakan perbincangan bersama FAM bagi menuntut syarat kedua.

Pengurusan baru menegaskan mereka berdepan masalah berikutan tidak diberikan kuasa penuh menguruskan kelab oleh pentadbiran lama menyebabkan banyak perkara gagal diselesaikan termasuk tunggakan gaji.

Baca Juga: Boleh Selesaikan, Tapi Bersyarat – Pengurusan Baru TCFC

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *