Ketiadaan Lim Teong Kim Cetus Tanda Tanya
- Harimau Malaya
- Oct 5, 2018
- No comment
Ketiadaan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim pada dua sesi dialog Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) semalam nyata mencetuskan tanda tanya para peminat yang hadir dalam dialog tersebut.
Sebelumnya, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan pertemuan dengan bekas pengendali skuad bawah 16 tahun negara itu. Apabila ditanya mengenai ketiadaan Teong Kim dalam sesi dialog tersebut, Syed Saddiq memberitahu lebih baik bertanya terus kepada Teong Kim.
“Saya rasa lebih baik tanya Lim Teong Kim sendiri. Kalau ada apa-apa pasti beliau (Teong Kim) sudah maklumkan kepada rakan media. Tapi saya rasa perjumpaan pagi tadi baik dan selepas itu saya jumpa dengan semua jurulatih,” kata Syed Saddiq kepada Berita Harian.
Apabila ditanya mengenai masa depan Teong Kim sebagai Pengarah AMD dan juga peletakkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif NFDP, Safirul Azli Abu Bakar, Syed Saddiq berkata perkara tersebut akan diputuskan melalui satu jawatankuasa khas yang bakal ditubuhkan nanti.
“Apa yang saya boleh katakan semua perkara berkaitan penstrukturan kita tunggu masa jawatankuasa ditubuhkan. Kita tunggu jawapan daripada jawatankuasa itu nanti.
“Beliau (Safirul) ada bagi surat peletakan jawatan tapi ia juga akan diputuskan oleh jawatankuasa. Saya nak pastikan suara semua pihak termasuk ibu bapa dan penyokong dapat didengari,” tambah beliau.
Jawatankuasa khas yang bakal ditubuhkan nanti akan diisi oleh ibu bapa pemain di bawah naungan NFDP, pemegang taruh dan juga penaja.
Ketiadaan Teong Kim dalam sesi dialog semalam sedikit-sebanyak mengecewakan peminat yang hadir dalam dialog tersebut kerana selain mahu mendengar penjelasan daripada Syed Saddiq, peminat juga mahu mendengar penjelasan daripada Lim Teong Kim sendiri mengenai kegagalan pasukan bimbingan beliau untuk layak ke Piala Dunia Remaja di Peru tahun hadapan.
Ketika ini, peminat ternanti-nanti nasib beliau sebagai Pengarah AMD adakah beliau bakal dikekalkan dan terus diberikan tanggungjawab melahirkan pemain akar umbi berkualiti ataupun digantikan dengan individu yang lain.
Baca Juga: Syed Saddiq Mahu Carii Kata Sepakat Mengenai NFDP