KFA Berkeras Mahu Bawa Isu Akhyar Ke CAS
- Liga Super
- Jan 12, 2019
- No comment
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tetap berkeras mahu membawa isu perpindahan pemain muda negara, Akhyar Rashid ke pengetahuan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris menegaskan pihaknya tetap berkeras dan akan meneruskan hasrat mereka walaupun telah berjumpa dengan pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dimana kedua-dua pihak membincangkan tentang isu kontroversi itu.
Asmirul mengeluarkan kenyataan sedemikian susulan tanggapan beberapa pihak yang mengatakan KFA bakal melupakan hasrat mereka apabila Naib Presiden KFA, Mohd Yusuri Yusof mendapat penerangan terperinci daripada MFL yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam.
Kevin dikhabarkan menyarankan agar KFA membawa kes berkenaan ke Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Kuala Lumpur daripada mengheret isu berkenaan ke CAS di Switzerland.
“Kami sudah menyerahkan kepada peguam yang uruskan kes itu dan kami tidak akan u-turn (pusingan U). Kami akan teruskan kerana itu hak kami sebagai pasukan.
“Walau apa pun yang disebutkan oleh pihak MFL, kami ucap terima kasih dan kami akan meneruskan apa yang kami (suarakan). Kami tidak akan u-turn kerana banyak pihak yang mempersoalkan perkara itu ketika ini.
“Ada beberapa proses yang perlu dilakukan sebelum kes ini dibawa ke sana (CAS), mungkin ia akan ambil sedikit masa. Tapi, Saya fikir kami akan berusaha untuk selesaikan secepat yang mungkin.
“Apabila kes ini sudah difailkan, kami tidak mahu komen lagi perkara ini di media, namun berkaitan hal lain membabitkan liga dengan MFL dan FAM, kami akan bertindak secara profesional seperti biasa,” kata Asmirul menurut laporan Berita Harian.
Pada masa yang sama, MFL mengesahkan Johor Darul Ta’zim telah menyenaraikan Akhyar dalam dalam senarai wajib 20 pemain pada pendaftaran awal Liga Malaysia (Liga M) yang berakhir Khamis lalu.
Pada 3 Januari lalu, KFA melancarkan Tabung CAS KFA dengan Mohd Asmirul mengesahkan pihaknya sudah menerima lebih RM15,000 sumbangan daripada tabung itu setakat jam 6 petang semalam.
Tambah Asmirul, pihaknya tidak akan mengeluarkan Sijil Perpindahan Negeri (SPN) atau kini dikenali sebagai surat pelepasan bagi membolehkan Akhyar beraksi bersama JDT.
“Jika kami keluarkan sijil perpindahan bermakna kami setuju (dengan perpindahan itu). Memanglah kalau KFA tak keluarkan pun FAM akan keluarkan juga, jadi biarlah mereka yang keluarkan,” tambanya.
Baca Juga: FAM Boleh Berikan Sijil Perpindahan Negeri