Kita Setanding Dengan Jepun
- Harimau Malaya
- Aug 26, 2018
- No comment
Pengendali skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee percaya kualiti yang dimiliki oleh pasukan negara kini setanding dengan kualiti yang dimiliki oleh pasukan Jepun.
Menurut laporan Kosmo, Datuk Ong berkata demikian setelah pemain negara memberikan cabaran yang sengit pada perlawanan peringkat 16 pasukan terakhir Jumaat lalu meskipun Malaysia tewas dengan keputusan 1-0.
“Saya tidak boleh meminta pemain memberikan aksi yang lebih baik kerana mereka telah mencurahkan tenaga mereka sepenuhnya di tengah padang sehingga membolehkan pasukan memberi kesukaran ke atas Jepun hingga ke minit-85.
“Namun, beberapa kesilapan yang dilakukan selain kegagalan menyudahkan peluang terhidang menjadi punca pasukan tersingkir. Kita harus akui Jepun merupakan pasukan yang lebih baik meskipun mereka diwakili sepenuhnya oleh skuad B-21.
“Apa yang pasti, temasya kali ini membuktikan bahawa jurang skuad muda Malaysia dengan pasukan-pasukan kuat seperti Jepun dan Korea Selatan sudah tidak terlalu ketara,” kata beliau.
Datuk Ong Kim Swee menambah beliau enggan untuk menyalahkan pemain pertahanan negara, Dominic Tan di atas kesilapan beliau yang menjatuhkan pemain Jepun di dalam kotak penalti seterusnya membolehkan Samurai Biru menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit terakhir perlawanan.
“Saya tidak akan menyalahkan mana-mana pemain termasuk Dominic yang berada dalam situasi untuk menyelamatkan gawang negara daripada dibolosi.
“Saya anggap dia antara pemain paling konsisten sepanjang temasya kali ini.
“Saya juga percaya dia akan jadikan perkara tersebut sebagai iktibar untuk beraksi lebih cemerlang kerana dia masih muda dan memiliki masa depan yang cerah,” tambah beliau.
Apa yang pasti, persembahan cemerlang yang ditunjukkan oleh pemain skuad bawah 23 tahun negara pada temasya Sukan Asia 2018 memberikan harapan baru kepara peminat bola sepak Malaysia tentang bagaimana nasib pasukan senior kebangsaan pada masa akan datang.
Jika berjaya mengekalkan momentum, tidak mustahil Malaysia mampu untuk beraksi di pentas yang lebih besar sekaligus memiliki kualiti yang setanding dengan pasukan terbaik dari rantau Asia.
Baca Juga: Masa Depan Bola Sepak Malaysia Cerah