Lambat-Laun Akan Dilantik Sebagai Jurulatih ?
- Liga Super
- Mar 18, 2018
- No comment
Jurulatih luar yang berasal dari Syiria yang dikaitkan dengan pasukan Kelantan sebelum ini, Fajr Ibrahim dilantik sebagai Pengarah Teknikal pasukan Kelantan bermula hari ini. Pelantikan Fajr dilihat sebagai individu yang akan menstruktur semula pasukan Kelantan, terutamanya pasukan Belia, pasukan Piala Presiden dan pasukan senior.
Selain menstruktur semula pasukan Kelantan, kami berpendapat dengan adanya Fajr Ibrahim, beliau akan menjadi penasihat kepada pemangku jurulatih pasukan ketika ini, Yusri Che Lah. Fajr akan menggunakan pengalaman yang dimiliki beliau untuk membantu Kelantan segera bangkit daripada kekalahan.
Ketibaan Fajr Ibrahim juga dilihat satu tindakan yang tepat pada masanya kerana pasukan Kelantan ketika ini sedang bergelut untuk memperbaiki prestasi pasukan dan mereka memerlukan perancangan yang rapi bagi memastikan tren negatif ini tidak berterusan. Mungkin Fajr mempunyai jalan penyelesaian kepada masalah yang sedang dihadapi oleh pasukan.
Adakah pelantikan Fajr sebagai Pengarah Teknikal hanya bersifat sementara ? Di sini kami berpendapat sedemikian. Lambat-laun, Fajr Ibrahim akan dilantik sebagai ketua jurulatih dan Yusri Che Lah akan menjadi pembantu kepada beliau. Perkara ini akan berlaku sekiranya Yusri masih lagi gagal untuk membimbing Kelantan ke arah kemenangan. Jika perkara itu berlaku, maka Fajr akan dilantik sebagai ketua jurulatih.
Kami merasakan perkara pertama yang akan dilakukan oleh Fajr ialah menilai semula barisan pemain yang sedia ada, terutamanya pemain import. Kami meramalkan akan ada 2 atau 3 pertukaran pemain import yang akan dilakukan apabila jendela perpindahan kedua dibuka pada Jun nanti.
Perkara kedua adalah berbincang dengan Yusri Che Lah bagi memperbaiki gaya permainan pasukan. Jika Kelantan mahu segera mengutip kemenangan, mereka harus mempunyai gaya permainan yang berbeza dengan perlawanan sebelum ini. Fajr juga akan berusaha untuk menasihati Yusri bagi memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam pasukan.
Adakah dengan pelatikan Fajr Ibrahim pasukan Kelantan akan kembali mengutip kemenangan ? Hanya masa yang dapat menjawab persoalan tersebut. Kini, apa yang diperlukan oleh Fajr ialah masa dan juga sokongan penuh daripada pengurusan dan juga peminat.