Lee Tuck Teruja Mahu Sarung Jersi Malaysia

Pemain tengah Terengganu FC, Lee Tuck berkata beliau teruja untuk menyarung jersi skuad kebangsaan sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu mendaftarkan beliau sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Tuck mengakui beliau bersemangat untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya setelah menyaksikan pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh dalam saingan Piala AFF Suzuki baru-baru ini dan sokongan padu dari penyokong setia pasukan negara.

“Ya saya berminat dan teruja untuk mewakili Malaysia. Satu penghormatan besar jika saya dapat menyarung jersi Harimau Malaya tapi semua bergantung kepada keputusan FAM,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Nama Tuck mula menjadi perhatian apabila beliau dilaporkan berada dalam senarai pendek FAM untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan. Pemain yang mula beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada 2016 bersama Negeri Sembilan ini sememangnya menjadi salah satu pemain tengah terbaik ketika ini.

Pemain berusia 30 tahun ini dijangka tidak berdepan masalah untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia memandangkan nenek beliau berasal dari Malaysia.

“Saya pasti akan menerima tawaran (FAM) seperti Sumareh. Dia beraksi baik bersama skuad kebangsaan dan ia pasti sesuatu yang menarik jika saya dapat mengikut jejak langkahnya,” tambah Tuck.

Sebelum ini, pasukan negara pernah diwakili oleh beberapa pemain kacukan seperti Matthew Davies, Natxo Insa, Kiko Insa, Brendan Gan, Darren Lok dan Junior Eldstal. Ada yang meninggalkan impak yang positif. Namun ada juga yang sekadar suam-suam kuku ketika tampil mewakili skuad Harimau Malaya.

Selain Lee Tuck yang berminat untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan, Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) juga berminat untuk mendaftarkan pemain sayap mereka, Mohamadou Sumareh sebagai pemain tempatan bagi menghadapi saingan musim 2019. Perkara ini disahkan oleh Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang.

Akan tetapi, pemain kelahiran Gambia itu hanya boleh didaftarkan bermula Mac 2019 sekaligus menyaksikan dia tetap mengisi kuota pemain import pada jendela perpindahan pertama sebelum bertukar status kepada pemain tempatan pada jendela perpindahan kedua.

Baca Juga: Lee Tuck Menyarung Jersi Harimau Malaya ?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *