Les Blues Raih Kejuaraan Kedua Piala Dunia!

Perancis berjaya meraih kejuaraan kedua mereka dalam sejarah Piala Dunia apabila menewaskan pasukan Croatia dengan keputusan 4-2 dalam perlawanan akhir sebentar tadi.

Croatia bermula garang apabila mereka memberikan asakan yang bertali-arus ke kubu pertahanan Perancis. Akan tetapi, ketika sedang seronok melancarkan serangan, Perancis berjaya membuka tirai jaringan apabila Mario Mandzukic menjaringkan gol sendiri hasil daripada sepakan percuma yang diambil oleh Antoine Griezmann.

Tersentak dengan jaringan pembukaan tersebut, pemain Croatia melipat-gandakan usaha mereka dan kerja keras mereka akhirnya terbalas apabila Ivan Perisic merembat masuk bola setelah barisan pertahanan Perancis gagal untuk mengeluarkan bola dengan baik.

Namun, Perancis kembali berada di hadapan menerusi sepakan penalti yang diambil oleh Griezmann setelah Perisic tertampan bola dalam kotak penalti. Video Assistant Referee (VAR) digunakan dalam menentukan sepakan penalti Perancis. Separuh masa pertama tamat dengan Les Blues berada di hadapan.

Memasuki separuh masa kedua, Croatia masih lagi menjadi pasukan yang menguasai perlawanan. Namun, kesilapan individu dan penyerang utama yang sedikit bergelut menyebabkan Croatia gagal untuk memperoleh jaringan.

Dan perkara tersebut digunakan dengan baik oleh pemain Perancis apabila Paul Pogba dan Kylian Mbappe menjaringkan dua gol dalam 10 minit bagi meletakkan Perancis selesa berada di hadapan.

Perancis memperlahankan sedikit tempo permainan dan perkara tersebut hampir memakan diri apabila penjaga gol, Hugo Lloris melakukan kesilapan dengan membenarkan Mandzukic mencuri bola daripada kawalan beliau dan menjaringkan gol kedua Croatia.

Namun, gol tersebut sudah terlambat dan Perancis mengekalkan kelebihan yang dimiliki sekaligus ditabal sebagai juara Piala Dunia edisi 2018.

Kejuaraan kedua ini amat besar maknanya buat pasukan terutamanya pemain Perancis. Tekanan besar yang diletakkan di bahu mereka berjaya dibayar dengan trofi Piala Dunia.

Walau apa pun, tahniah diucapkan kepada pasukan Perancis diatas kemenangan kali ini. Tahniah juga diucapkan kepada pasukan Croatia kerana mereka berjaya memberi warna yang tersendiri kepada temasya Piala Dunia edisi kali ini. Walaupun tewas, mereka patut berbangga dengan pencapaian yang diraih.

Apa pendapat anda mengenai kemenangan pasukan Perancis ke atas pasukan Croatia dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2018 sebentar tadi? Mampukah generasi ini mengekalkan prestasi terbaik pada masa akan datang?

Baca Juga: Croatia Mampu Cipta Kejutan

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *