Liga 1 Indonesia Dihentikan Selama Dua Minggu
- Luar Negara
- Sep 27, 2018
- No comment
Persaingan Liga 1 Indonesia dihentikan selama dua minggu selepas insiden kematian seorang penyokong Persija pada kekecohan antara penyokong Persija dan Persib pada perlawanan yang melibatkan kedua-dua pasukan Ahad lalu.
Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Imam Nahrawi mengumumkan perkara ini dan beliau memberikan indikasi bahawa Liga boleh diteruskan sekiranya siasatan ke atas kematian Haringga Sirila selesai dalam waktu terdekat.
Jurucakap Kementrian Sukan, Gatot S Dewa Broto menambah pihaknya kini masih lagi mengumpul bukti dan fakta dan nantinya akan diserahkan kepada Jawatankuasa Disiplin dan mereka akan menilai hukuman apa yang akan dikenakan kelak.
Keganasan antara kumpulan penyokong bukanlah perkara baru dalam saingan Liga Indonesia apatah lagi jika kita menyebut tentang permusuhan antara penyokong Persija dan Persib yang dikenal sangat kejam dan berbahaya. Haringga merupakan korban jiwa ketujuh akibat daripada kekecohan penyokong yang dicatatkan sejak 2012.
Setakat ini, pihak polis Indonesia telah menahan lapan individu bagi membantu siasatan di atas tragedi yang berlaku.
Beberapa pasukan dalam saingan Liga 1 Indonesia memberikan sokongan kepada keputusan yang dibuat. Antara pasukan yang menyokong ialah Mitra Kukar yang kini dikendalikan oleh bekas ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan.
Federasi Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini pernah menggantung bola sepak Indonesia selama dua tahun dari 2014 hingga 2016 kerana campur tangan kerajaan dalam urusan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) ketika itu.
Dalam tempoh tersebut, bola sepak Indonesia banyak diwarnai oleh kejohanan tidak rasmi seperti Torabika Cup serta Bhayangkara Cup bagi memastikan nasib pasukan dan juga para pemain tidak tergatung.
Kini, keputusan untuk menghentikan sementara saingan Liga 1 Indonesia nyata merisaukan para peminat kerana FIFA boleh menggantung mereka sekali lagi kerana ada campur tangan daripada pihak kerajaan.
Apa yang pasti, tragedi yang berlaku pada Ahad lalu menjadi pengajaran kepada semua pihak agar nyawa seseorang tidak melayang kerana sukan bola sepak. Sukan bola sepak ini untuk dinikmati dan bukannya untuk diratapi.
Baca Juga: Bola Sepak Indonesia Berduka Lagi