Liga Negara-Negara Hadkan Pilihan Jurulatih
- Lain-lain
- Sep 11, 2018
- No comment
Liga Negara-Negara boleh menghadkan pilihan yang dimiliki oleh ketua jurulatih kerana perlawanan akan menjadi kompetitif dan jurulatih sudah pasti mahu meraih keputusan positif.
Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim berkata perlawanan persahabatan yang sebelum ini menjadi medan ujian dan memberikan peluang kepada pemain muda untuk menunjukkan bakat mereka.
“Secara dasarnya, saya melihat pertandingan ini satu langkah yang baik namun saya bimbang jika matlamat sebenar aksi persahabatan tersasar jauh kerana tiada perkembangan dalam pasukan yang terbabit.
“Ini membabitkan aspek di mana jurulatih tidak berani mengambil pendekatan baharu apabila terpaksa menurunkan barisan pemain dan formasi yang sama kerana mahu memburu kemenangan sekali gus mengetepikan pemain muda.
“Jika sebelum ini, keputusan aksi persahabatan tidak begitu dititikberatkan memandangkan banyak eksperimen dijalankan tetapi saya khuatir pertandingan ini nanti akan mengganggu perkembangan sesuatu pasukan itu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Tambah Zulakbal yang juga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagaimanapun mengakui pertandingan itu memberi peluang kepada skuad kebangsaan menguji kemampuan sebenar mereka di peringkat antarabangsa.
“Sebelum ini, skuad kebangsaan banyak menentang lawan yang boleh dikatakan tidak begitu kuat. Jadi kita sukar untuk menilai kemampuan sebenar pasukan kita.
“Berdasarkan perlawanan bertemu lawan yang setara, ini dapat memberi gambaran penuh terhadap kemampuan pasukan kita sama ada mampu bersaing pada kelas yang sama dan memberi cabaran pada lawan yang lebih kuat,” katanya.
Sebelum ini, Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) telah menjalan Liga Negara-Negara Eropah dan format yang digunakan mereka dilihat boleh dijalankan di rantau Asia.
AFC bersedia mempertimbangkan untuk mengikut jejak langkah benua berkenaan bagi menganjurkan perlawanan persahabatan yang dilihat akan meningkatkan lagi tahap kompetitif setiap perlawanan.
Datuk Windsor Paul John juga tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkan Liga Negara-Negara Asia dengan mengikut format sama yang digunakan oleh UEFA namun menjelaskan masih terlalu awal untuk membincangkan cadangan itu dengan lebih lanjut.
Bac Juga: Tan Cheng Hoe Mahu Pemain Lebih Bersedia