Liga Thailand Mantapkan Permainan Shahrel Fikri
- Harimau Malaya
- Sep 11, 2018
- No comment
Penyerang skuad kebangsaan yang beraksi di Liga Thailand, Shahrel Fikri Fauzi menjadi watak utama dalam kemenangan pasukan negara ke atas pasukan Kemboja dalam perlawanan persahabatan semalam.
Shahrel dimasukkan pada separuh masa kedua bagi menggantikan Nazmi Faiz Mansor dan penyerang Nakhon Ratchasima ini mencipta impak segera dimana gerakan serta kelibat beliau memberikan ancaman kepada benteng pertahanan lawan.
Eki membuat hantaran lintang dimana hantaran tersebut berjaya disempurnakan oleh Syazwan Andik untuk jaringan kedua pasukan negara. Sebelum wisel perlawanan dibunyikan, Shahrel membuat larian seterusnya melepaskan satu rembatan kencang sekaligus memberikan kemenangan kepada pasukan negara setelah tunduk kepada Taiwan pada Jumaat.
Permainan Eki dilihat meningkat setelah beliau beraksi bersama Nakhon Ratchasima FC dalam saingan Thai League 1. Pada perlawanan semalam, larian serta gelecekkan yang dilakukan oleh bekas ketua pasukan PKNP FC ini sememangnya meningkat berbanding sebelumnya.
Beraksi di luar negara nyata mampu untuk mempertingkatkan gaya serta mutu permainan seseorang pemain itu. Perkara ini yang selalu ditekankan kepada semua pemain dalam saingan Liga Malaysia agar keluar dari zon selesa dan beraksi di liga yang mempunyai suasana serta cabaran yang berbeza berbanding Liga Malaysia.
Meskipun Nakhon bukanlah pasukan yang boleh mencabar kejuaraan Liga musim ini, namun beraksi di peringkat tertinggi nyata memberikan satu pengalaman yang berbeza kepada Shahrel Fikri.
Apa yang pasti, Shahrel Fikri perlu mengekalkan momentum cemerlang beliau bagi memastikan barisan serangan negara tetap tajam menuju ke temasya Piala AFF Suzuki pada akhir tahun ini.
Kehadiran Shahrel ditambah dengan pemain sayap sedia ada seperti Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan mungkin Mohamadou Sumareh bakal menjadikan barisan serangan negara menjado lebih berbahaya.
Apa pendapat anda mengenai prestasi Shahrel Fikri Fauzi yang kini beraksi di Liga Thailand bersama Nakhon Ratchasima FC ketika membantu pasukan negara menewaskan pasukan Kemboja semalam? Wajarkah beliau dikekalkan sebagai penyerang utama pasukan kebangsaan pada perlawanan akan datang?
Baca Juga: Harimau Malaya Bangkit Daripada Kekalahan