Lim Teong Kim Dipecat

Setelah gagal membawa skuad bawah 16 tahun negara mara ke peringkat separuh akhir temasya AFC Bawah 16 Tahun, pengendali pasukan, Lim Teong Kim dipecat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkuatkuasa serta-merta.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, yang berkata keputusan itu dibuat atas arahan Presiden FAM, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin.

“Keputusan dibuat berdasarkan prestasi skuad negara yang tidak melepasi saingan peringkat kumpulan.

“Dato’ Hamidin sudahpun mengarahkan Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Subahan Kamal memanggil Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan Bola Sepak Belia FAM bermesyuarat bersama Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo secepat mungkin untuk membentuk panel pemilihan bagi mencari pengendali baharu skuad B-16 kebangsaan dan cadangan mereka itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diputuskan,” katanya

Bagaimanapun Stuart menegaskan FAM tidak mengikat sebarang kontrak dengan Teong Kim, sebaliknya jurulatih itu mempunyai perjanjian dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kuasa FAM terhad kepada pelantikan ketua jurulatih dan panel penolongnya, tetapi Teong Ki masih mempunyai baki kontrak bersama majikannya. Terpulang kepada KBS untuk menentukan masa depan Teong Kim,” kata Stuart.

Dalam pada itu, Stuart mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang tampil memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad negara.

“FAM menghargai sokongan penyokong dan kami berharap kelompok pemain ini akan diasuh dan matang untuk dijadikan teras skuad senior dalam masa lima dan enam tahun akan datang,” tambah Stuart.

Pemain skuad bawah 16 tahun negara yang tampil dalam temasya AFC Bawah 16 Tahun kali ini kebanyakkannya berasal daripada pemain National Football Development Program (NFDP) yang telah ditubuhkan sejak empat tahun lalu.

Sasaran utama yang diletakkan kepada program ini ialah layak ke temasya Piala Dunia Remaja edisi 2019 yang akan diadakan di Peru. Untuk mencapai matlamat tersebut, pasukan sekurang-kurangnya perlu layak ke peringkat separuh akhir temasya AFC Bawah 16 Tahun.

Setelah Lim Teong Kim dipecat, kini peminat tertanya-tanya siapa yang akan menggantikan beliau bagi meneruskan kerja-kerja yang telah dilakukan sebelum ini.

Baca Juga: Impian Ke Piala Dunia Lebur

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *