Liridon Krasniqi Sertai Pahang ?

Bekas pemain import pasukan Kedah, Liridon Krasniqi mungkin menyarung jersi pasukan Pahang bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

Liridon ketika ini berstatus ejen bebas setelah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak menyambung kontrak beliau. Setelah beraksi selama tiga setengah musim bersama skuad Lang Merah dan memenangi beberapa kejuaraan antaranya Piala Malaysia dan Piala FA, perjalanan Liridon bersama Kedah sampai ke penghujungnya.

Desas-desus mengenai perpindahan pemain yang akrab disapa Mat Don ini dengan menyertai pasukan Pahang muncul apabila Liridon memuat naik gambar seekor gajah pada Instagram story milik beliau.


Sumber Gambar: Instagram Liridon

Setakat ini, kuota pemain import pasukan Pahang sudah diisi oleh empat pemain. Empat pemain yang dimaksudkan ialah Mohamadou Sumareh, Safuwan Baharuddin, dua pemain import baru iaitu Darryl Hérold Goulon dan Sadddil Ramdani.

Namun, Sumareh berkemungkinan besar bakal didaftarkan sebagai pemain tempatan dan Persatuan Bola SepakNegeri Pahang (PBNP) ketika ini sedang menunggu rayuan yang sudah dihantar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Jadi, slot pemain import yang ditinggalkan oleh Sumareh bakal diisi oleh pemain import yang lain.

Kemampuan Liridon Krasniqi untuk mengemudi jentera tengah sememangnya tidak boleh dinafikan lagi. Lihat saja pengalaman serta kejuaraan yang sudah beliau menangi ketika beraksi bersama Kedah. Liridon juga pernah memenangi anugerah Pemain Import Terbaik pada musim 2016.

Namun, Pahang ketika ini mempunyai seorang lagi pemain tengah yang juga mampu untuk mengemudi jentera tengah dengan baik. Nor Azam Azih menampilkan persembahan cemerlang buat pasukan Pahang musim lalu dimana pemain muda ini berjaya membantu skuad Tok Gajah memenangi Piala FA 2018 dengan menewaskan pasukan Selangor di pentas final.

Jika benar Liridon menyertai pasukan Pahang, maka ketua jurulatih, Dollah Salleh perlu menukar sedikit barisan tengah beliau. Musim ini, Safuwan dan Nor Azam mengisi jentera tengah pasukan.

Pahang akan berlepas ke Thailand bagi menjalani perlawanan pra musim sebagai persiapan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Baca Juga: 4 Penyerang Thai League 1 Mampu Kukuhkan Pahang

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *