Lucero Ganti Diaz ?
- Liga Super
- Mar 1, 2018
- No comment
Tindakan Jorge Pereyra Diaz meninggalkan Johor Darul Ta’zim masih lagi menjadi perbualan dikalangan peminat bola sepak Malaysa. Setelah peminat mengetahui apa penyebab perginya Diaz, kini peminat tertanya-tanya siapa yang bakal menggantikan beliau. Di sini, timbul satu nama yang pernah bermain untuk mereka pada musim 2016 iaitu Juan Martin Lucero. Peminat JDT khususnya mahukan pemain ini untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Diaz. Tetapi, adakah beliau adalah pemain yang sesuai ?
Ketika Martin Lucero menyertai JDT pada musim 2016, beliau mengalami sedikit perubahan pada posisi beliau. Posisi Asal Lucero adalah pemain tengah menyerang. Tetapi, ketua jurulatih JDT ketika itu, Mario Gomez mahukan Lucero bermain sebagai penyerang utama kerana beliau mahu meletakkan Diaz sebagai pemain tengah menyerang. Dan gandingan dua pemain ini nyata menjadi. Diaz berjaya menjadi penjaring terbanyak Liga Super dengan 18 gol manakala Lucero berada di tempat kedua dengan 16 gol. Kedua-dua pemain ini menjadi senjata utama JDT bagi memastikan mereka muncul juara Liga Super dan mencipta rekod tidak pernah tewas sepanjang musim 2016. Akan tetapi, kami berpendapat Lucero bukanlah pemain yang sesuai untuk menggantikan Diaz ketika ini.
Jika kita melihat formasi yang digunakan oleh Johor Darul Ta’zim musim ini, mereka menggunakan formasi 4-3-3 ketika di bawah bimbingan jurulatih yang meletak jawatan, Ulisses Morais dan pengendali sementara mereka, Raul Longhi. Dalam sistem ini, Diaz diletakkan di posisi sayap oleh Morais. Manakala Juan Martin Lucero pula ialah seorang penyerang. Gaya permainan Lucero juga tidak sepantas Diaz. Sebab itulah kami berpendapat Lucero bukan individu yang sesuai untuk menggantikan Diaz jika JDT masih lagi menggunakan formasi 4-3-3.
Mungkin JDT boleh mempertimbangkan bekas pemain mereka, Gabriel Guerra yang ketika ini bermain untuk Boca Juniors di Liga Argentina dan pemain import Johor Darul Ta’zim II ketika ini, Nicolas Fernandez sebagai pengganti Diaz. Jika Longhi menukar sistem beliau, mungkin nama Lucero boleh dipertimbangkan. Jika beliau kekal dengan sistem sedia ada, maka Lucero bukanlah pemain yang sesuai.