Luqman Hakim Perlukan Pentas Yang Lebih Besar

Penyerang skuad bawah 16 tahun negara, Luqman Hakim Shamsuddin memberikan khabar gembira buat pasukan negara apabila beliau berjaya memenangi Anugerah Penjaring Terbanyak temasya AFC Bawah 16 Tahun.

Meskipun hanya beraksi sebanyak satu setengah perlawanan, namun Luqman berjaya mempertahankan jaringan beliau daripada diatasi oleh penyerang lain terutamanya daripada pasukan yang beraksi dalam peringkat kalah mati.

Sebelumnya, Luqman berjaya menjaringkan empat gol ketika skuad bawah 16 tahun negara menewaskan finalis edisi kali ini, Tajikistan dengan keputusan 6-2. Luqman kemudiannya meneruskan rentak jaringan beliau pada perlawanan menentang Thailand apabila beliau berjaya menjaringkan satu gol.

Akan tetapi, layangan kad merah yang diterima oleh Luqman pada perlawanan menentang Thailand menyebabkan beliau tidak dapat membantu pasukan negara pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan dimana Malaysia tewas kepada Jepun.

Untuk rekod, Luqman berjaya memenangi Anugerah Penjaring Terbanyak dengan kelebihan satu gol berbanding penyerang Jepun, Shoji Toyama dan penyerang Australia, Noah Botic yang masing-masing menjaringkan empat gol.

Kejayaan yang diraih oleh Luqman Hakim bermakna pemain muda ini perlu beraksi di pentas yang lebih besar bagi meningkatkan dan memperkemaskan lagi tahap permainan beliau. Bagi meningkatkan lagi kualiti beliau, kami berpendapat Luqman perlu menyertai akademi kelab yang beraksi di saingan bola sepak Eropah.

Kita sedia maklum ada beberapa kelab Eropah mempunyai akademi yang sangat baik dan setiap tahun mereka melahirkan pemain yang mempunyai kualiti tinggi seperti akademi Ajax Amsterdam, akademi Sporting Lisbonn dan La Masia milik FC Barcelona.

Jika Luqman menyertai salah satu akademi tersebut, tidak mustahil beliau bakal menjadi penyerang terbaik yang dimiliki oleh negara pada masa akan datang sekaligus dapat membantu skuad kebangsaan kembali ke zaman kegemilangannya.

Apa yang pasti, kita tidak boleh menyia-nyiakan bakat yang dimiliki oleh Luqman Hakim. Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mencari cara bagaimana hendak memelihara dan meningkatkan lagi kualiti yang dimiliki oleh Luqman.

Baca Juga: NFDP Sepatutnya Lebih Proaktif

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *