Malaysia Dalam 2 Tahun – From Zero to Hero
- Harimau Malaya
- Dec 7, 2018
- No comment
Apabila Malaysia mara ke perlawanan akhir Kejohanan AFF Suzuki 2018, ianya mengimbau nostalgia
4 tahun lepas apabila skuad negara juga layak ke perlawanan akhir. Ini juga bakal menjadi perlawanan akhir keempat, selepas kalah 2 kali dengan Thailand dan menang dengan Indonesia.
Imbas kembali, di bawah jurulatih Datuk Ong Kim Swee pada kejohanan sama 2 tahun lepas, Malaysia
ditempatkan di kumpulan yang sama dengan Kemboja, Vietnam dan Myanmar. Perlawanan pertama,
Malaysia menang 3-2 ke atas Kemboja. Namun ini menjadi kemenangan terakhir skuad negara pada
tahun 2016.
Kekalahan 1-0 ke atas Vietnam dan Myanmar meranapkan impian untuk ke separuh akhir.
Keputusan seri tanpa jaringan menentang Filipina pada Mac 2017 menjadi perlawanan terakhir DOKS,
sebelum digantikan dengan Nelo Vingada.
Di bawah The Professor, Malaysia hanya mampu seri sekali menentang Hong Kong di Melaka. Sisanya, 6 perlawanan berakhir kekalahan. Kegagalan The Professor menerapkan DNA bolasepak sebenar membuat penyokong hilang kesabaran, dan Tan Cheng Hoe dilantik genap 12 bulan lepas.
TCH merupakan penolong kepada Datuk K. Rajagopal sejak tahun 2004 sehingga 2013, dari skuad bawah 19 tahun sehingga skuad senior. Secara tidak langsung, TCH sudah mengenal bakat pemain seperti kembar Aidil Adha dan Matyo hampir 14 tahun.
Perlawanan pertama dan kedua TCH pada Mac 2018 berakhir seri (vs Mongolia) dan kalah (vs Lubnan), menjadikan Malaysia gagal meraih kemenangan selama 16 bulan lebih, sehingga buat kali pertama ranking Malaysia berada di kedudukan 178 – terendah dalam sejarah bolasepak negara.
Namun perlawanan menentang Bhutan pada awal April memberi sinar baru apabila menang besar 7-0 di Bukit Jalil. Sejak daripada itu, Malaysia hanya kalah 3 kali (vs Chinese Taipei, Kyrgystan dan Vietnam) dan seri 2 kali (vs Thailand baru-baru ini) di bawah penangan TCH.
Dan selepas setahun TCH menjadi jurulatih skuad senior, Malaysia layak semula ke separuh akhir.
Perlu diketahui, tiga pasukan lainnya merupakan peserta Piala Asia 2019. Dan selepas sepakan penalti Adisak Kraisorn gagal menerjah gawang Farizal Marlias, Malaysia kembali mengukir sejarah mara ke pentas akhir.
Walaupun mara disebabkan kegagalan penalti lawan, namun corak permainan Malaysia di Rajamangala patut diberikan thumbs up. Sama ada Malaysia mampu menjulang piala kedua Sabtu depan, atau Vietnam pula yang menjulang piala kedua, Malaysia kini sudah boleh mendongak kepala selepas kemarau kemenangan.
Namun kejayaan TCH ini bukannya kemuncak kejayaan, namun baru permulaan. Chemistry di antara jurulatih dan pemain juga perlu diikat dengan erat, penyokong dan ultras perlu bersabar dan sentiasa menyokong. Semoga FAM tidak campur tangan tahun-tahun berikutnya. Sesungguhnya kejayaan ini bukanlah sementara, seperti kata-kata pujangga, Rome was not built in a day.
Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC.
Baca Juga: Syahmi Safari Juga Hero Pasukan Negara