Malaysia – Dari AFC ke OFC, Mungkinkah ?
- Harimau Malaya
- Oct 30, 2018
- No comment
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ditubuhkan pada 8 Mei 1954 di Manila dan penyertaan AFC akhirnya
diluluskan FIFA sebulan selepas penubuhannya. Malaysia merupakan salah satu pendiri AFC, dan ibu
pejabat AFC terletak di Bukit Jalil.
Sebagai salah satu pendiri AFC, prestasi skuad bolasepak negara adalah pingat gangsa Sukan Asia 1974, layak ke Olimpik 1972, 3x naib juara AFC B-19, suku akhir AFC B-16 serta pernah layak ke Piala Dunia B-17 sebagai tuan rumah.
Namun prestasi skuad B-16 dan B-19 yang gagal melepasi peringkat kumpulan baru-baru ini, ditambah
dengan ranking bolasepak di kedudukan 169 daripada 211 negara di bawah naungan FIFA (35/46 di
AFC, 9/12 di AFF), seolah-olah semakin sukar kita menyaksikan Malaysia di peringkat tertinggi.
Usahkan Piala Dunia, Olimpik pun jauh. Nak jadi tuan rumah, kena keluarkan bajet yang boleh
mencecah USD 15 billion.
Salah satu cara termudah yang mungkin boleh dilakukan oleh FAM dan Malaysia adalah … pindah
konfederasi.
Chinese Taipei juga merupakan salah satu pendiri AFC dengan nama Republik China, namun mereka
keluar dari AFC tahun 1974 untuk bergabung dengan OFC kerana China menolak penyertaan mereka
atas sebab hak penamaan. Selepas menukar nama kepada Chinese Taipei, mereka akhirnya kembali
ke pangkuan AFC tahun 1989 sehingga sekarang.
PRO
Jika Malaysia hendak keluar dari AFC kerana status negara pendiri, maka Chinese Taipei telah
melakukannya terlebih dahulu. Malaysia pula semakin kerap mengadakan perlawanan dengan negara
Oceania. Lihat saja perbandingan 5 perlawanan terakhir Malaysia menentang negara Oceania,
Malaysia menang 3 perlawanan – termasuk menang di tempat lawan menentang New Caledonia.
Lagipun sejak 2016, Malaysia kerap mengadakan perlawanan persahabatan melawan negara Oceania.
Kali terakhir sebelum itu, Malaysia menjamu New Zealand 12 tahun lepas di Queen Elizabeth II Park, dengan keputusan kalah 0-1 dan 1-2.
Masalah ranking rendah? OFC bukan negara calang-calang. Jika Malaysia bergabung dengan OFC,
maka Malaysia perlu bersaing dengan 11 negara lainnya untuk merebut 0.5 slot ke Piala Dunia –
perbandingan 4.5 slot daripada 46 negara AFC.
Slot ini akan bertambah kepada 1 slot di OFC dan 8 slot di AFC pada Piala Dunia 2026. Sebagai perbandingan, Malaysia berada di kedudukan kelapan daripada 12 negara OFC di belakang New Zealand (119), Solomon Islands (143), New Caledonia (155), Tahiti (157), Vanuatu (162), Papua New Guinea (166) dan Fiji (167).
Selepas Australia keluar dari OFC tahun 2006, New Zealand pula merajai bolasepak Oceania. Sejak
2006, juara Liga Juara-Juara OFC sentiasa dari New Zealand (kecuali Hekari United dari Papua New
Guinea musim 2009-10), New Zealand menjuarai 2 daripada 3 edisi Piala Negara-Negara OFC, 5
daripada 7 edisi Kejohanan OFC B-19, dan semua edisi Kejohanan OFC B-17.
Belum lagi New Zealand layak ke Olimpik 2008 dan 2012 (Fiji layak ke Olimpik 2016). Bayangkan jika Malaysia masuk OFC, mungkin JDT akan mencabar kelab dari New Zealand, belum lagi pasukan senior sehingga B-16 mendapat laluan mudah untuk layak ke Piala Dunia atau Olimpik.
KONTRA
Namun terdapat faktor lain yang perlu diperhatikan. Walaupun hanya 11 negara (tidak termasuk
Kiribati, Niue dan Tuvalu yang bukan ahli FIFA), faktor jarak menjadi kendala. Jarak terjauh yang harus ditempuh adalah ke Tahiti (12132 km), sedangkan dalam AFC, jarak terjauh yang harus ditempuh adalah ke Palestin (7566 km). Jarak ke Palestin ini lebih dekat berbanding 7 negara OFC lainnya.
Belum lagi status Malaysia di Asia Tenggara dan Asia, mungkin Malaysia terpaksa melepaskan Sukan
SEA, Sukan Para ASEAN, Piala AFF Suzuki, Kejohanan AFF B-16 dan B-19 untuk berhijrah ke Oceania.
Jika demikian, hilanglah persaingan Malaysia vs Indonesia, Thailand, Singapura dan sebagainya. Belum lagi Sukan Asia/Para Asia, Kejohanan AFC, Piala AFC dan Liga Juara-Juara AFC – impian JDT sejak 2013.
Berbicara soal liga bolasepak, mungkin ada benarnya JDT bakal berjaya di Liga Juara-Juara OFC. Namun status Liga Super yang bakal disamakan dengan Kejohanan Bolasepak New Zealand, Liga Bolasepak Kebangsaan Papua New Guinea, Ligue 1 Tahiti dan sebagainya seolah merendahkan status Liga Super yang mampu bersaing dengan kelab-kelab di Asia.
Lagipun, faktor Australia keluar dari OFC bukan kerana lari dari saingan. Australia merupakan singa di antara kucing, malahan mereka pernah membelasah American Samoa 31-0, namun sentiasa terkandas di play-off Piala Dunia. Sebab itulah Australia keluar dari OFC dan impak daripada itu, mereka sentiasa layak ke Piala Dunia dalam 3 edisi terakhir (2006 di Jerman, Australia layak di bawah OFC).
Perumpamaan Australia yang keluar dari OFC ke AFC ini ibarat Safawi Rasid, pindah dari T-Team ke
JDT dan berjaya membuktikan dia boleh di dalam pasukan yang lebih besar. Sementara jika Malaysia
dari AFC ke OFC diibaratkan sebagai Zaquan Adha. Bermain di JDT selama 2 musim tanpa sebarang
jaringan, akhirnya turun ke JDT II dan berjaya membuktikan dirinya sebagai penjaring utama, dan
kembali dipanggil ke skuad kebangsaan pada tahun 2016 selepas 3 tahun tidak mewakili Malaysia.
Turun tidak semestinya menjatuhkan keupayaan, namun bukan selalunya turun menjadikan diri lebih
berjaya.
Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC.
Baca Juga: Rekod Harimau Malaya Dalam Kejohanan Piala AFF