Mampukah Harimau Selatan Membenam Muanthong ?
- Luar Negara
- Jan 23, 2018
- No comment
Hari ini juara Liga Super Malaysia 2017, pasukan Johor Darul Ta’zim akan menentang naib juara Liga Thailand 2017, Muanthong United dalam peringkat kelayakkan pusingan awal kedua temasya Asia Champions League 2018. Perlawanan ini akan berlangsung di markas Muanthong United iaitu Stadium SCG. Kali ini adalah kali keempat pasukan JDT bertemu dengan pasukan dari Thailand alam peringkat kelayakkan Asia Champions League. Mampukah harimau selatan membenam Muanthong United hari ini dan mara ke pusingan ketiga peringkat kelayakkan ?
Tahun lalu, Johor Darul Ta’zim berjaya mara sehingga ke pusingan ketiga peringkat kelayakkan dengan menewaskan pasukan Bangkok Glass menerusi sepakan pada pusingan kedua. Pada pusingan ketiga, mereka bertemu dengan pasukan gergasi Liga Jepun, Gamba Osaka. Dalam perlawanan tersebut, Safiq Rahim dan kawan-kawan tewas dengan keputusan 3-0. Kali ini, JDT nampak seperti sudah bersedia dengan cabaran yang akan diterima.
Pasukan Muanthong kehilangan beberapa tonggak penting mereka yang berhijrah ke pasukan lain musim ini. Teerasil Dangda menyertai Sanfrecce Hiroshima, Chanatip Songkrasin menyertai Consodole Sapporo dan penjaga gol utama mereka, Kawin Thamsachanan yang meyertai kelab Belgium, OH Leuven. Walaupun kehilangan beberapa pemain tonggak, Muanthong masih lagi mempunyai pemain yang mampu memusnahkan impian JDT untuk bermain di Asia Champions League antaranya Charyl Chappuis dan Siroch Chatthong. Jadi pada pandangan kami, Muanthong masih lagi berbahaya.
Di sini kami ingin berkongsi barisan utama JDT pilihan kami untuk menentang Muanthong United hari ini.
Skuad Harimau Selatan diperkuat dengan kehadiran Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figueroa di bahagian serangan. Bagi posisi sayap kanan pula, Hazwan dilihat pilihan yang tepat ketika ini. Selepas perlawanan ini, tempat beliau berkemungkinan besar akan dicabar Safawi Rasid. Di tengah, Safiq dan Natxo Insa akan membantu bahagian serangan sementara Harris Harun akan melindungi barisan pertahanan JDT. Di bahagian pertahanan pula, kami menjangkakan Corbin-Ong dan Soares akan diturunkan.
Kali ini kami melihat Johor Darul Ta’zim memiliki kemampuan untuk menewaskan Muanthong United. Dengan barisan pemain yang sedia ada, segalanya tampak menjanjikan. Jika JDT berjaya menewaskan Muanthong United hari ini, merek aakan bertemu dengan kelab dari Liga Jepun, Kashiwa Reysol di peringkat ketiga kelayakkan.
Apa pendapat anda ? Adakah JDT mampu untuk menewaskan Muanthong sekaligus mara ke peringkat ketiga perlawanan ? Atau mereka akan terkandas dan akan bermain dalam saingan Piala AFC sekali lagi ?
Baca Juga: Buriram Dan Kelab Jepun Mahukan Akhyar
Baca selebihnya mengenai perlawanan ini di sini