Marko Simic Berdepan Tuduhan Menyerang Wanita
- Luar Negara
- Feb 12, 2019
- No comment
Penyerang Persija Jakarta, Marko Simic berdepan dengan tuduhan menyerang wanita ketika penerbangan dari Bali ke Sydney menjelang perlawanan peringkat kelayakan Asian Champions League (ACL) 2019.
Simic disoal siasat oleh Polis Persekutuan Australia sebaik saja mendarat di lapangan terbang pada Ahad lalu dan beliau didakwa dengan perbuatan tidak senonoh tanpa persetujuan dan serangan terhadap wanita yang duduk di sebelah beliau dalam penerbangan tersebut.
Persija berkunjung ke Australia bagi menghadapi pasukan Newcastle Jets pada pusingan kelayakan kedua saingan Liga Juara-Juara Asia 2019.
Menurut laporan portal berita tempatan, News.com.au, Simic hadir ke Mahkamah Daerah Downing bagi mendengar pertuduhan yang dikenakan. Peguam Simic meminta perkara ini untuk segera diselesaikan namun Majistret, Jennifer Atkinson menegaskan kes Simic akan dilayan seperti kes biasa dan perlu menunggu sehingga 9 April untuk dibicarakan semula.
Mahkamah juga mengarahkan Marko Simic untuk menyerahkan pasport beliau dan bekas pemain Melaka United serta Negeri Sembilan ini perlu berada di Australia sehingga 9 April. Jika didapati bersalah, Simic berkemungkinan besar dikenakan hukuman penjara.
Perkara ini sudah pasti menjejaskan perancangan Persija bagi menghadapi Newcastle Jets pada petang ini. Simic merupakan harapan utama pasukan yang diberi gelaran Macam Kemayoran itu untuk mencari jaringan bagi memastikan Persija melayakkan diri ke pusingan play-off.
Sumber Video: FGD Football
Pada pusingan kelayakan pertama, pasukan bimbingan Ivan Kolev ini menewaskan naib juara S.League, Home United dengan keputusan 3-1. Simic berjaya menjaringkan satu gol pada perlawanan yang diadakan di Stadium Jalan Besar itu.
Jika Marko Simic tidak dapat diturunkan pada perlawanan petang ini, Persija mungkin menurunkan pemain naturalisasi Indonesia, Alberto Goncalves bagi mengetuai jentera serangan. Goncalves merupakan pemain pinjaman dari kelab Liga 1 Indonesia, Madura United.
Selain Beto, Persija turut membawa seorang penyerang iaitu pemain legenda mereka dan juga pasukan kebangsaan Indonesia, Bambang Pamungkas. Bekas penyerang Selangor berusia 38 tahun ini masih lagi mampu untuk beraksi dengan baik meskipun sudah memasuki usia senja.
Baca Juga: Dua Pemain Persija Berpotensi Beraksi Di Liga Malaysia