Masa Depan Bola Sepak Malaysia Cerah!

Kekalahan kepada Jepun semalam sememangnya sukar untuk diterima oleh peminat bola sepak Malaysia. Setelah menempuhi perjalanan yang begitu cemerlang, akhirnya Malaysia terkandas di peringkat 16 pasukan terakhir. Apa yang pasti, meskipun tewas, namun tidak dinafikan masa depan bola sepak Malaysia cerah melihat kepada persembahan pemain bawah 23 tahun negara.

Paling menarik perhatian ialah persembahan yang ditunjukkan oleh barisan serangan negara yang diketuai ol3h Safawi Rasid dan Akhyar Rashid. Kedua-dua pemain ini menjadi nadi utama pasukan negara untuk merobek gawang lawan sekaligus menghasilkan jaringan.

Safawi dan Akhyar membuktikan mereka juga mampu untuk memberikan cabaran kepada pasukan besar dimana kedua pemain membantu Malaysia menewaskan juara bertahan, Korea Selatan pada perlawanan peringkat kumpulan.

Selain barisan serangan, barisan pertahanan juga menampilkan aksi yang bertenaga sepanjang temasya Sukan Asia. Dominic, Irfan dan Adam tenang dalam menyerap segala asakan daripada pihak lawan. Kecemerlangan ketiga-tiga pemain ini menyumbang kepada kemenangan Malaysia ke atas Korea.

Meskipun melakukan kesilapan yang membolehkan Jepun menjaringkan gol kemenangan, namun pemain pertahanan negara wajar diberikan pujian di atas persembahan cemerlang mereka dalam empat perlawanan yang melibatkan pasukan negara.

Jika para pemain skuad bawah 23 tahun negara mampu untuk mengekalkan momentum menjelang saingan Piala AFF Suzuki akhir tahun ini, ditambah dengan pemain senior sedia ada, tidak mustahil Malaysia mamou untuk mengulangi prestasi ketika edisi 2010 dimana kita muncul sebagai juara.

Di barisan serangan, Safawi dan Akhyar boleh digandingkan dengan Shahrel Fikri Fauzi ataupun Zaquan Adha. Di bahagian pertahanan pula, ada pemain senior seperti Fadhli Shas dan Shahrul Saad yang boleh dijadikan sebagai pasangan kepada Dominic, Irfan atau Adam.

Pasukan bawah 23 tahun negara mungkin gagal untuk melangkah dengan lebih jauh dalam temasya Sukan Asia 2018. Akan tetapi, jika berjaya mengekalkan momentum dan prestasi semasa, nescaya Malaysia akan mempunyai masa depan yang lebih cerah dan mampu untuk beraksi di pentas yang lebih besar pada masa akan datang.

Baca Juga: Sukan Asia 2018: Samurai Libas Cakar Harimau!

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *