Masihkah Ada Peluang Buat Apek ?

Apabila Sharbinee Allawee dibolosi lima gol pada perlawanan pembukaan Piala AFF Suzuki 2010 ketika Malaysia tewas kepada Indonesia, Datuk K.Rajagopal memutuskan untuk memberi peluang kepada penjaga gol muda berusia 21 tahun untuk beraksi pada perlawanan kedua kumpulan menentang Thailand. Sejak dari itu, penjaga gol ini tampil cemerlang sehingga membantu Malaysia muncul juara temasya edisi 2010. Siapa penjaga gol yang kami maksudkan ? Dia adalah Khairul Fahmi Che Mat atau yang mesra dipanggil dengan nama Apek. Masihkan ada peluang untuk Khairul Fahmi disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan bimbingan Tan Cheng Hoe ?

Setelah membantu Malaysia muncul sebagai juara Piala AFF Suzuki pada 2010, Khairul Fahmi dicanang sebagai penjaga gol terbaik di Asia Tenggara ketika itu. Prestasi cemerlang Apek bukan saja di peringkat antarabangsa. Di peringkat kelab bersama pasukan Kelantan, beliau berjaya membantu The Red Warriors menguasai Liga Malaysia dari tahun 2010 hingga 2013. Ketika zaman kegemilangan Apek, beliau selalu menjadi pilihan utama jurulatih skuad kebangsaan dan juga pasukan Kelantan kerana ketangkasan beliau di hadapan gol. Walaupun ketika itu Malaysia mempunyai penjaga gol yang boleh dikategorikan penjaga gol terbaik negara seperti Farizal Marlias dan Sharbinee Allawee, tetapi nama Apek masih lagi menjadi pilihan utama.

Selain kejuaraan bersama pasukan kebangsaan dan Kelantan, karier Apek juga dipenuhi dengan pelbagai anugerah peribadi yang berjaya diraih. Khairul berjaya memenangi Penjaga Gol Muda Terbaik Liga Malaysia pada 2010. Selain itu, Khairul juga dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik di Liga Malaysia sebanyak 5 kali, kali terakhir beliau menerima anugerah ini adalah pada tahun 2016.

Tidak dinafikan karier Khairul sejak tiga musim kebelakangan ini tidaklah begitu baik. Malahan beliau pernah kehilangan tempat penjaga gol utama negara kepada Hafizul Hakim. Di pasukan Kelantan, posisi beliau kini dicabar oleh Ramadhan Hamid. Masihkah ada peluang buat beliau untuk tampil bersama skuad kebangsaan ? Kami berpendapat Khairul Fahmi wajar diberi peluang. Tetapi dengan syarat, beliau harus bekerja keras kerana Hafizul Hakim, Izham Tarmizi dan Haziq Nadzli ketika ini berada dalam prestasi yang baik.

Apa pendapat anda mengenai peluang untuk Apek tampil bersama skuad kebangsaan ? Adakah beliau wajar diberi peluang ? Ataupun beliau sudah tidak relevan dan posisi penjaga gol utama negara patut diisi oleh pemain lain ?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *