Matematik Piala Malaysia Dan Piala Cabaran 2018!
- Piala Malaysia
- Sep 15, 2018
- No comment
Selepas mengharungi 5 perlawanan, kini 24 pasukan di Piala Malaysia dan Piala Cabaran akan
menghadapi perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada Sabtu dan Ahad (bagi Piala Malaysia)
dengan Selasa dan Rabu (bagi Piala Cabaran 2018). 6 pasukan telah mengesahkan tempat di suku akhir Piala Malaysia, sementara 3 pasukan pula telah menempah tiket di separuh akhir Piala Cabaran. Pengiraan telah dilakukan bagi kesemua pasukan dan kemungkinan yang bakal terjadi selepas perlawanan keenam ini.
PIALA MALAYSIA 2018
Kumpulan A menyaksikan Terengganu dan Perak telah mengesahkan tempat di suku akhir, namun
perlawanan Sabtu ini menjadi penentu siapa yang menjadi juara kumpulan. Mereka sama-sama
mengutip 10 mata, namun Terengganu mendahului Perak disebabkan perbezaan gol (Terengganu +7,
Perak +3). Perlawanan akhir mempertemukan Terengganu dengan Kuala Lumpur di Stadium Sultan
Ismail Nasirudin Shah, dan Perak dengan FELCRA di Stadium Cheras.
Nasib serupa dialami pasukan dari kumpulan B, di mana Felda United dan PKNS sama sama
melayakkan diri ke suku akhir. Dua pasukan berstatus kelab ini mengumpul 10 mata, namun Felda
United mendahului dengan perbezaan gol (Felda United +7, PKNS +4). Perlawanan di antara Felda
United dan Melaka United di Stadium Hang Jebat, serta PKNS dan PDRM di Stadium Shah Alam akan
menjadi penentu siapa yang bakal menjadi juara kumpulan.
Kumpulan C masih berbaki 2 slot, di mana kesemua pasukan masih berpeluang untuk layak. Bagi JDT,
mereka tidak mahu menjadi juara bertahan yang tersingkir awal. Kali terakhir juara bertahan tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi 2009, apabila Kedah gagal menjadi pasukan di antara 3 tempat kedua terbaik.
Maka kunjungan mereka ke Stadium Shah Alam menentang pasukan yang pernah mengalahkan mereka bulan lepas, MISC-MIFA ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Satu lagi perlawanan di antara naib juara musim lepas, Kedah bertemu Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV.
Nasib kumpulan D telah diketahui, apabila Sabah dan Pahang menjadi juara dan naib juara kumpulan.
Oleh itu, pertembungan sesama mereka di Stadium Likas hanya menjadi pelengkap jadual, apabila
Sabah yang mengutip 13 mata pasti tidak dapat dipintas oleh Pahang (8 mata).
Sehingga kini, Sabah merupakan satu-satunya pasukan tanpa kalah di saingan Piala Malaysia musim ini. Ini satu perkara yang mengejutkan, di mana mereka merupakan pasukan pilihan ke-16 dalam saingan. Satu lagi perlawanan di antara PKNP dan Selangor diadakan di Stadium Batu Kawan.
PIALA CABARAN 2018
Kumpulan A menyaksikan pasukan yang tersingkir dari Liga Perdana 2018, Terengganu II melayakkan
diri ke separuh akhir. Mereka juga satu-satunya pasukan tanpa kalah dalam saingan Piala Cabaran 2018.
Satu lagi slot ke separuh akhir menjadi buruan Negeri Sembilan dan UKM (secara peribadi, kedua-duanya adalah pasukan yang saya sokong). UKM yang berada di tempat teratas pada 2 minggu lepas kini jatuh ke tempat ketiga selepas kekalahan berturut-turut kepada Terengganu II dan Negeri
Sembilan.
Perlawanan Selasa ini menyaksikan Terengganu FC II menjadi tuan rumah kepada Negeri
Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sementara Sarawak – pasukan yang telah
tersingkir – bakal menjamu UKM di Stadium Negeri.
Bagi kumpulan B pula, JDT II dan ATM mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas mengalahkan
Pulau Pinang dan UiTM minggu lepas. Walaupun ATM berada 3 mata di belakang JDT II, namun
perbezaan gol yang terlalu besar (JDT II +11, ATM 0) memberi kepastian bahawa ATM tidak dapat
menjadi juara kumpulan, walau JDT II kalah Rabu depan.
Oleh itu, perlawanan Rabu depan di antara JDT II-UiTM di Stadium Larkin dan ATM-Pulau Pinang di Stadium MINDEF hanya sebagai pelengkap jadual, tak ubah seperti kumpulan D Piala Malaysia. JDT II dan ATM hanya perlu menunggu siapa bakal lawan mereka di separuh akhir.
Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC.
Baca Juga: Kelantan Impikan Peringkat Suku Akhir – Yusri Che Lah