Matematik UNL dan Kelayakan Euro 2020
- Luar Negara
- Nov 22, 2018
- No comment
Selepas perlawanan peringkat kumpulan Liga Negara-Negara UEFA (UNL) berakhir, kini saingan akan
disambung ke peringkat akhir pada Jun 2019, di mana 4 juara kumpulan dari Liga A – Belanda,
Switzerland, Portugal dan England – bakal diundi pada awal Disember ini. Bermula Mac tahun hadapan
pula, rehat antarabangsa akan menyaksikan perlawanan kelayakan untuk Euro 2020. Secara tidak
langsung, UNL juga berhubungkait dengan kelayakan Euro 2020.
JUARA KUMPULAN DARI LIGA A
Untuk makluman, bagi kelayakan Euro 2020, terdapat 10 kumpulan kelayakan di mana kumpulan A
sehingga E mengandungi 5 negara sementara kumpulan F sehingga J mengandungi 6 negara.
Keempat-empat juara kumpulan dari Liga A (Belanda, Switzerland, Portugal dan England) bakal
diletakkan di kumpulan A sehingga D di kelayakan Euro 2020 disebabkan mereka akan beraksi di
pusingan akhir UNL di Portugal Jun mendatang.
16 JUARA KUMPULAN UNL
Keenam belas negara yang menjadi juara kumpulan juga bakal memperebutkan 4 tiket playoff ke Euro
2020 mengikut liga masing-masing, jika mereka gagal layak terus melalui kelayakan Euro 2020. Untuk
makluman, 2 tempat teratas di setiap kumpulan kelayakan Euro 2020 akan layak terus ke pusingan
akhir.
Sebagai contoh, dari Liga D UNL ada Georgia, Belarus, Kosovo dan Macedonia yang menjadi juara
kumpulan. Seandainya di peringkat kelayakan Euro 2020 mereka gagal layak terus, maka mereka akan
melalui perlawanan playoff di mana pemenang playoff akan layak ke Euro 2020.
Sekiranya ada juara kumpulan yang telah layak automatik melalui peringkat kelayakan, maka pasukan
di kedudukan terbaik di UNL mengikut liga masing-masing yang tidak layak akan memasuki playoff.
KEDUDUKAN AKHIR UNL MEMPENGARUHI UNDIAN KELAYAKAN EURO 2020
Memandangkan UEFA mempunyai 55 negara keahlian, maka ranking 5-10 UNL (kesemuanya dari Liga
A) ditempatkan di balang 1 undian, ranking 11-20 UNL di balang 2, sehingga ranking 51-55 UNL di
balang 6. Ranking 1-4 merupakan balang khas yang ditempatkan di balang UNL kerana mereka bakal
ditempatkan di kumpulan A/B/C/D kelayakan Euro 2020.
UNL 2020/21
Untuk edisi kedua UNL, juara-juara dari Liga B/C/D akan dinaikkan ke Liga A/B/C. Begitu juga dengan tempat tercorot dari Liga A/B/C akan diturunkan ke Liga B/C/D. Bagi Liga C, tiga negara di tempat keempat dari kumpulan 2/3/4 dan satu negara di tempat ketiga dari kumpulan 1/2/3/4 dengan pencapaian tercorot akan diturunkan ke Liga D.
Edisi kedua UNL ini berkemungkinan akan mengambil format dan kelayakan yang sama untuk Piala
Dunia 2022 di Qatar. Namun masih belum ada kepastian berapa slot yang ditetapkan dari UNL 2020/21 ini, apalagi pusingan akhir UNL 2020/21 ini akan bertembung dengan Piala Konfederasi 2021 pada Jun 2021 – jika Perancis bersama juara Euro edisi 2020 layak ke Piala Konfederasi.
Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC.
Baca Juga: Matematik Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018