Matyo Jadi Nadi Utama Pasukan Negara

Norshahrul Idlan Talaha. Itulah nama yang meniti di bibir peminat bola sepak tanah air setelah pemain berusia 31 tahun ini menampilkan aksi yang cemerlang dalam dua perlawanan Piala AFF Suzuki 2018 setakat ini. Matyo menjadi nadi utama pasukan dalam kemenangan ke atas Kemboja dan Laos.

Pada perlawanan menentang Laos semalam, Matyo diletakkan di bahagian tengah di samping seorang lagi penyerang, Syafiq Ahmad dan pemain tengah yang beraksi dengan baik pada perlawanan pertama ketika menewaskan Kemboja, Akram Mahinan.

Norshahrul diberikan tanggungjawab untuk membantu ketua pasukan, Zaquan Adha di bahagian serangan dan larian serta gelecekan beliau seringkali menyukarkan barisan pertahanan Laos untuk mengawal pergerakan beliau.

Pada minit-minit akhir permainan, Norshahrul muncul wira pasukan negara apabila menjaringkan dua gol bagi memberikan kemenangan kepada Malaysia sekaligus kemenangan kedua dalam saingan kumpulan A.

Peranan Matyo dalam saingan edisi kali ini nyata lebih besar daripada apa yang dijangkakan oleh peminat dan beliau menjadi nadi utama pasukan. Pada mulanya Matyo dianggap sebagai pelengkap dalam skuad yang dibawa oleh Tan Cheng Hoe kali ini memandangkan bekas pembantu kepada Nelo Vingada ini membawa pemain muda yang berkaliber serta mempunyai kemampuan tersendiri seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.

Selain pemain muda, Cheng Hoe turut membawa pemain naturalisasi pertama Malaysia, Mohamadou Sumareh. Namun, ketiga-tiga pemain ini seperti ditenggelamkan dengan persembahan cemerlang Matyo dalam dua perlawanan setakat ini. Penyerang Pahang ini telah menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan pertama kumpulan A.

Apa yang pasti, para peminat berharap Matyo dapat mengekalkan momentum cemerlang beliau pada perlawanan menentang pasukan yang lebih baik daripada lawan sebelum ini iaitu pasukan Vietnam dan Myanmar.

Jika berjaya memenangi salah satu daripada dua perlawanan yang akan ditempuhi, maka peluang Harimau Malaya untuk mara ke peringkat separuh akhir dan menjadi juara kumpulan akan semakin cerah.

Malaysia akan bertandang ke Hanoi bagi menghadapi Vietnam pada 16 November sebelum menamatkan perlawanan di peringkat kumpulan dengan menerima kunjungan pasukan Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 November.

Baca Juga: Harimau Malaya Memperoleh Kemenangan Kedua

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *