Melaka United Makin Garang
- Piala Malaysia
- Aug 27, 2018
- No comment
Melaka United berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2018 sekaligus mencerahkan peluang untuk ke peringkat suku akhir apabila mereka tampil garang dengan membelasah PDRM FA dengan keputusan 6-1 semalam.
Anak-anak buah E.Elavarasan menampilkan persembahan yang berbeza berbanding seri 2-2 dengan lawan sama minggu lalu Melaka berjaya menguasai 45 minit babak pertama dan kedua untuk meraih mata maksimum.
Barisan serangan Melaka menampilkan aksi cemerlang apabila menjaringkan lima daripada enam gol yang dijaringkan. Ifedayo terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti. Syahrul Azwari kemudiannya menambah dua gol sebelum wisel separuh masa pertama dibunyikan.
Memasuki separuh masa kedua, Melaka bijak memanfaatkan peluang apabila PDRM terpaksa beraksi dengan sembilan pemain selepas Hazwan Fakrullah dan Khairul Izuan mengutip kad merah pada minit ke -47 dan 51. PDRM mengambil pendekatan bertahan setelah kedua-dua pemain ini dilayangkan kad merah.
Shahdan Sulaiman kemudiannya menjaringkan gol keempat Melaka sebelum penyerang import, Yahor Zubovich menambah dua lagi jaringan bagi melengkapkan malam gemilang bagi Melaka.
Dengan kemenangan semalam, Melaka bukan saja mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan peringkat kumpulan malah kemenangan tersebut kembali membuka peluang untuk Melaka mara ke peringkat suku akhir.
Bagi pasukan PDRM pula, peluang mereka untuk mara ke peringkat seterusnya telah tertutup rapat setelah hanya mampu mengutip satu mata daripada empat perlawanan setakat ini. Cabaran dalam saingan Piala Malaysia sememangnya terlalu berat bagi pasukan bimbingan Mohd Fauzi Pilus ini.
Melaka United akan menentang PKNS FC pada perlawanan kelima peringkat kumpulan manakala PDRM pula akan menentang pendahulu kumpulan, Felda United. Penting untuk Melaka meraih tiga mata penuh bagi memastikan tempat mereka di peringkat suku akhir terjamin.
Apa pendapat anda mengenai persembahan garang yang ditampilkan oleh Melaka United ketika menewaskan PDRM FA pada perlawanan semalam ? Mampukah mereka mengekalkan momentum semasa sekaligus mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia edisi kali ini.
Baca Juga: Pesta Bola Merdeka Wajar Diadakan Semula