Melaka United Pasukan ‘Underdog’ – Razman Roslan
- Liga Super
- Jan 24, 2019
- No comment
Pemain pertahanan Melaka United, Razman Roslan berkata pasukannya selesa dengan status ‘underdog’ dalam saingan Liga Malaysia musim ini meskipun dibarisi dengan beberapa pemain bintang serta pemain berpengalaman.
Menurut Razman, dengan status ‘underdog’ membuatkannya selesa dan tiada tekanan yang dihadapi untuk memenuhi sasaran yang diletakkan oleh pihak pengurusan iaitu memenangi sekurang-kurangnya satu piala yang dipertandingkan musim ini.
“Kami menunjukkan peningkatan memberansangkan dalam setiap perlawanan, termasuk siri persahabatan di Vietnam, baru-baru ini.
“Semua pemain tahu tanggungjawab masing-masing, sekaligus memudahkan persembahan secara berpasukan, malah setakat ini pemain berjaya menterjemahkan strategi dan perancangan jurulatih untuk memastikan keputusan positif pada setiap pertemuan terbabit,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Bagi menghadapi saingan musim 2019, pengurusan pasukan Melaka United telah melakukan perubahan besar dari segi pemain tempatan dan juga import serta barisan kejurulatihan pasukan.
Beberapa nama besar dibawa masuk seperti bekas ketua pasukan kebangsaan dan Johor Darul Ta’zim, Safiq Rahim, bekas ketua pasukan Felda United, Shukor Adan, Nazrin Nawi, Raimi Mohd Noor dan Razman Roslan sendiri.
Selain membawa pemain tempatan yang berprofil tinggi, MUSA turut membawa masuk pemain import yang pernah memenangi anugerah Pemain Import Terbaik Liga Malaysia 2016, Liridon Krasniqi dan Penjaring Terbanyak Liga Perdana 2018, Anselmo Arruda Da Silva atau Casagrande.
Untuk mengemudi pasukan, pengurusan Melaka United melantik Zainal Abidin Hassan sebagai ketua jurulatih sambil dibantu oleh bekas ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusof dan bekas ketua jurulatih pasukan Negeri Sembilan, Asri Ninggal.
Melihat kepada barisan pemain yang dimiliki oleh Melaka, mereka dilihat mampu untuk menamatkan saingan Liga Super dikalangan empat pasukan terbaik dan berpeluang cerah untuk memenangi Piala Malaysia ataupun Piala FA.
Dengan pengalaman yang dimiliki oleh Shukor, Safiq serta Razman yang sudah pernah memenangi tiga kejuaraan utama dalam saingan Liga Malaysia itu, tidak mustahil Melaka United berjaya memenuhi sasaran yang ditetapkan dan menjadi antara pasukan paling berbahaya musim ini.
Baca Juga: Pasukan Negeri Akan Menguasai – Shukor Adan