Menggugurkan Chan Vathanaka Tindakan Yang Tepat?

Pasukan Pahang tidak mengambil masa yang lama apabila mereka menandatangani bekas penyerang Terengganu, issey Nakajima Farran dan bekas penyerang Kelantan, Austin Amutu bagi menggantikan pemain sayap, Chan Vathanaka dan Francis Forkey Doe yang mengalami kecederaan.

Penulis sedia maklum jika mereka mencari pengganti Forkey Doe kerana pemain ini mengalami kecederaan dan harus berehat lama. Akan tetapi, penulis tidak faham mengapa pengurusan pasukan Pahang menggugurkan Chan Vathanaka. Jika kita lihat persembahan Vathanaka, beliau beraksi dengan baik di posisi sayap kiri.

Meski pun belum menjaringkan sebarang gol, tetapi Vathanaka menjadi satu ancaman kepada lawan Pahang di sebelah kiri. Lihat saja larian pantas dan juga gelecekkan Vathanaka. Pasukan Pahang juga boleh dikatakan mempunyai pemain sayap paling berbahaya dan terbaik dalam saingan Liga Malaysia.

Pengganti beliau, Issey Nakajima Farran dikaitkan dengan pasukan Pahang sejak dari bulan lalu apabila Forkey Doe mengalami kecederaan. Penulis melihat pemilihan Issey sebagai pengganti adalah satu langkah yang baik memandangkan Issey mempunyai pengalaman beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Seorang lagi pemain yang dibawa masuk, Austin Amutu juga mempunyai sedikit pengalaman beraksi dalam saingan Liga Malaysia. Beliau juga pernah membantu pasukan Kelantan mara ke perlawanan akhir Piala FA edisi 2015 namun tewas di tangan Lions XII.

Menurut penulis, Vathanaka sepatutnya diberikan lebih banyak peluang dan juga masa untuk dikekalkan dalam pasukan sekaligus membuktikan bahawa beliau mampu untuk menjadi pemain utama pasukan Pahang.

Walau apa pun, ketua jurulatih pasukan Pahang, Dollah Salleh mungkin mempunyai perancangan beliau sendiri dan menganggap Vathanaka ini tidak sesuai untuk digunakan dalam perancangan beliau. Jadi, apa yang peminat pasukan Pahang boleh lakukan ialah teruskan memberi sokongan kepada pasukan.

Apa pendapat anda mengenai tindakan pengurusan Pahang menggantikan Chan Vathanaka dengan Issey Nakajima Farran dan membawa masuk Austin Amutu untuk memperkuatkan pasukan ? Mampukah kedua-dua pemain ini menyesuaikan diri dengan corak permainan Dollah Salleh ?

Baca Juga: Issey Nakajima Farran Ganti Francis Forkey Doe

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *