Mesyuarat Bulan Hadapan Tentukan Nasib Lee Tuck

Nasib pemain tengah Terengganu FC, Lee Andrew Tuck untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan akan diketahui apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengadakan mesyuarat jawatankuasa skuad kebangsaan yang dijangka akan berlangsung pada bulan hadapan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata keinginan Lee Tuck untuk menyarung jersi pasukan negara amat dialu-alukan bagi memantapkan lagi pasukan kebangsaan yang ketika ini sedang berada dalam tahap terbaik.

“Status Lee berbeza dengan Mohamadou Sumareh (pemain naturalisasi pertama negara). Lee ada pertalian darah dengan Malaysia jadi kalau ikutkan prosesnya lebih mudah.

“Kedudukannya sama seperti Brendan Gan, Matthew Davies, Kiko Insa dan lain-lain yang mempunyai ikatan kekeluargaan dengan negara ini.

“Ia hanya terpulang kepada Lee saja sama ada nak main atau tidak. Tapi dengan kenyataannya di media baru-baru ini, jelas dia amat berminat nak bermain dengan pasukan kebangsaan.

“Jadi kami akan bincangkan hal itu pada mesyuarat akan datang. Apa pun kami kena tunggu mesyuarat itu dulu dan mengambil pandangan semua pihak sebelum memanggilnya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Pemain berusia 30 tahun ini menyatakan kesediaan beliau untuk beraksi bersama Malaysia di pentas antarabangsa dan FAM sendiri dikhabarkan telah memasukkan nama beliau serta dua lagi pemain import dalam senarai pendek pemain yang akan didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Tambah Datuk Mohd Yusoff, beliau berpendapat Lee Tuck mempunyai kualiti dan potensi yang besar untuk membantu pasukan kebangsaan meningkatkan lagi kualiti dan tahap permainan mereka.

“Kalau tanya pandangan saya, dia ada potensi cukup besar untuk membantu pasukan negara. Malah, memang menjadi agenda FAM untuk memantapkan skuad negara dan jika kehadirannya mampu memperkukuhkan kekuatan pasukan, apa salahnya,” tambahnya.

Tuck menampilkan aksi yang bertenaga ketika mewakili pasukan Terengganu FC dalam saingan musim ini. Selain mampu mengawal jentera tengah dengan baik, Lee Tuck juga mampu untuk membantu jentera serangan sekaligus menjaringkan gol.

Baca Juga: Lee Tuck Tunggu Kebenaran Dari FAM

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *