MFL Beri Peringatan Kepada 24 Pasukan
- Liga Perdana, Liga Super
- Jan 9, 2019
- No comment
Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi peringatan kepada 24 pasukan yang bakal beraksi dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana untuk melengkapkan pendaftaran pertama barisan pemain selewatnya Khamis ini.
Menurut Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd. Shazli Shaik Mohd, beliau yakin kesemua 24 pasukan tidak akan berdepan masalah untuk mendaftarkan barisan pemain mereka kerana tempoh masa yang diberikan oleh MFL cukup lama sejak 29 November tahun lalu.
Berdasarkan peraturan yang digariskan untuk Liga Malasyia, setiap pasukan diwajibkan untuk mendaftar 20 pemain termasuk tiga penjaga gol terlebih dahulu sebelum senarai penuh 30 pemain pada 20 Februari depan.
“Semua pasukan telah dimaklumkan mengenai pendaftaran awal 20 pemain pada 10 Januari ini. Pemain yang didaftarkan ini penting untuk pasukan beraksi untuk perlawanan pertama yang akan bermula 1 Februari depan.
“Selain 20 pemain, mereka juga diwajibkan mendaftar tujuh pegawai pasukan dan saya percaya berdasarkan perjumpaan pihak MFL dengan pasukan yang bertanding sebelum ini, mereka nampak sudah bersedia untuk mendaftarkan pemain.
“Cuma sebelum ini ada pasukan yang berdepan masalah untuk mendaftarkan pemain import kerana memerlukan dokumen tertentu termasuk Sijil Perpindahan Antarabangsa,” katanya menurut laporan Kosmo.
Tambah Shazli, kebanyakan pasukan Liga Malaysia sudah biasa dengan prosedur pendaftaran pemain. MFL sendiri telah memudahkan urusan pendaftaran itu dengan menggunakan sistem FAM MyPAS bagi menggantikan Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak sejak 2017.
“Kebanyakan pasukan sudah biasa beraksi dalam liga kita dan mereka sudah tahu mengenai prosedur pendaftaran ini. Kita juga tidak melakukan sebarang perubahan melainkan memudahkan lagi proses ini dengan menggunakan sistem FAM MyPAS,” tambahnya.
Ketika ini, pasukan dari Liga Super dan Liga Perdana sedang giat melakukan persiapan khususnya dari segi barisan pemain bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini. Beberapa nama besar juga bakal mewarnai Liga Malaysia musim ini seperti bekas penyerang Buriram United, Diogo Luis Santo dan juga abang kepada pemain tengah Atletico Madrid, Saul Niguez iaitu Aaron Niguez.
Baca Juga: Pahang Hanya Senaraikan Empat Pemain Import