MFL Mahu Penjelasan Dari KLFA
- Liga Super
- Jan 16, 2019
- No comment
Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menafikan dakwaan mereka menyekat geran tahunan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) tanpa meminta penjelasan daripada persatuan itu.
KLFA berdepan isu tunggakan gaji dimana perkara ini menyebabkan mereka kehilangan pemain pertahanan, Syazwan Andik Ishak yang mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak bersama persatuan tersebut.
Semalam, MFL mengeluarkan kenyataan dimana mereka menafikan mengambil tindakan secara melulu. Menurut MFL, mereka meminta penjelasan daripada KLFA sebelum membawa kes berkenaan ke Ahli Lembaga Pengarah.
“Merujuk laporan akhbar tempatan bertajuk ‘Selidik dulu’ bertarikh 15 Januari 2019, Malaysian Football League (MFL) menafikan kenyataan yang dikeluarkan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Datuk Kamarudin Hassan.
Kamarudin dalam artikel itu menyatakan bahawa MFL bersedia mengambil tindakan dengan menyekat geran tahunan KLFA tanpa meminta sebarang penjelasan daripada pihak mereka berkenaan isu KLFA tidak membayar gaji pemain susulan pendedahan bekas pemain, Syazwan Andik Ishak.
Bagaimanapun MFL telah mengeluarkan kenyataan yang dikeluarkan dalam satu laporan akhbar tempatan bertajuk ‘KLFA berdepan pemotongan geran’ bertarikh 14 Januari 2019.
Dalam laporan itu, MFL menuntut penjelasan terperinci daripada KLFA sebelum kes berkenaan di bawa ke Ahli Lembaga Pengarah untuk mengambil tindakan termasuk menyekat pemberian geran tahunan sebagai cagaran untuk mereka melangsaikan sebarang tunggakan.
Ini kerana MFL sentiasa konsisten dengan keputusan yang diambil sepanjang dua tahun ini dan mengenakan denda dan memotong mata pasukan yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan dalam Liga Malaysia,” jelas MFL.
Naib Presiden KLFA, Datuk Kaamarudin Hassan sebelum ini menggesa MFL untuk tidak mengambil keputusan terburu-buru dalam menghukum persatuan itu dengan menggantung geran tahunan.
Datuk Kamarudin turut meminta MFL untuk mendapatkan penjelasan daripada KLFA terlebih dahulu sebelum mengenakan tindakan dan perlu lebih adil dalam membuat keputusan.
Pada kenyataan sama, MFL turut menjelaskan mereka sentiasa konsisten dengan keputusan yang diambil sepanjang dua tahun ini dan mengenakan denda dan memotong mata pasukan yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan dalam Liga Malaysia.
“Malah bagi pendaftaran pasukan musim ini juga, MFL sudah mengumumkan untuk menyekat pembayaran geran tahunan kepada pasukan baharu Liga Premier, Perlis selagi belum menjelaskan tunggakan gaji dalam tempoh 60 hari daripada tarikh yang ditetapkan hanya selepas mendapat penjelasan daripada Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).”
Baca Juga: Jangan Ambil Keputusan Terburu-buru – KLFA