MFL Memantau Isu Tunggakan Gaji Perlis

Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memantau perkembangan mengenai isu tunggakan gaji yang melibatkan 18 pemain pasukan Perlis seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Masalah tunggakan gaji sudah termasuk dalam perjanjian diantara Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dengan MFL dimana PFA diberikan tempoh selama 60 hari untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji pemain.

Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mustaza Ahmad berkata pihaknya telah memberikan satu tempoh masa kepada PFA untuk menyelesaikan segala hutang dan MFL akan menyekat pemberian geran tahunan sebagai cagaran bagi melangsaikan hutang berkenaan sekiranya PFA gagal berbuat demikian.

“Tuntutan pemain Perlis sudah ada dalam perjanjian bersama dan ini bukan tuntutan baharu. PFA sudah memberikan jaminan untuk menyelesaikan masalah itu sebelum sepak mula Liga Malaysia (Liga M) 2019.

“PFA masih memiliki tempoh masa dan jika mereka gagal berbuat demikian, MFL akan menggunakan geran tahunan mereka bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain,” katanya menurut laporan Kosmo.

Status Perlis yang dinaikkan pangkat ke saingan Liga Perdana menjadi tanda tanya dikalangan peminat kerana pasukan ini masih mempunyai hutang yang belum diselesaikan. Peminat berpendapat ada pasukan lain yang lebih layak berbanding Perlis untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Menurut Mustaza, MFL telah memantau dan memberikan kelulusan kepada pasukan Perlis untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini. Keputusan ini diambil berdasarkan komitmen dan perancangan pengurusan baharu PFA untuk menyelesaikan tunggakan gaji dan memantapkan kewangan pasukan pada musim ini.

“Persatuan Bola Sepak Malaysia mencadangkan tiga pasukan iaitu Kuching FA, ATM dan Perlis dari Piala FAM untuk mengisi slot Liga Premier berdasarkan dokumen perancangan pasukan berkenaan termasuk aspek kewangan.

“Daripada tiga pasukan ini, Ahli Lembaga Pengarah MFL kemudian memilih Perlis kerana memiliki penyokong lebih ramai dan jumlah hutang mereka lebih sedikit,” tambah Mustaza.

Sebelum ini, seramai 18 pemain Perlis tampil dan mereka menuntut untuk PFA mengotakan janji dengan membayar tunggakan gaji mereka. Sepanjang tidak menerima gaji, ada di kalangan pemain bekerja sebagai nelayan dan berniaga kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan hidup.

Baca Juga: 18 Pemain Perlis Belum Terima Tunggakan Gaji

Leave a comment

Your email address will not be published.