MFL Mungkin Menyekat Geran Tahunan KLFA
- Liga Super
- Jan 14, 2019
- No comment
Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dilihat bakal berdepan satu lagi bencana apabila pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mungkin memotong geran tahunan mereka susulan tunggakan gaji yang dihadapi persatuan tersebut.
Perkara ini dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam yang menjelaskan sekatan terhadap pemberian geran tahunan kepada KLFA itu dibuat berdasarkan peruntukan sedia ada.
Tambah Kevin, pihaknya selama dua tahun terakhir sentiasa konsisten dalam keputusan yang diambil dimana mereka mengenakan hukuman kepada pasukan melanggar peraturan dengan mengenakan denda pemotongan mata.
“MFL berhak untuk menyekat pemberian geran tahunan kepada KLFA selaku pasukan Liga Super sebagai cagaran untuk mereka melangsaikan segala hutang tertunggak.
“Pihak KLFA perlu membuktikan bahawa semua bayaran sudah dibuat dan mematuhi dokumen diperlukan dalam pendaftaran liga bagi membuktikan bahawa KLFA mempunyai kewangan yang baik dan perancangan untuk kekal bersaing dalam kempen 2019 dengan jayanya.
“MFL akan meminta penjelasan terperinci daripada KLFA dengan segera untuk dibawa kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Isu tunggakan gaji menyebabkan Kuala Lumpur kehilangan pemain terbaik mereka dimana Syazwan Andik mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak bersama KLFA dan menjadi ejen bebas. Tidak lama kemudian, Syazwan menyertai juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim.
Duka kehilangan Pelo belum hilang, kini mereka berdepan dengan satu lagi duka. Jika MFL mengambil keputusan untuk menyekat geran kepunyaan KLFA, maka pasukan tersebut berkemungkinan berdepan dengan krisis kewangan yang lebih parah.
Selain berdepan masalah kewangan, KLFA turut berdepan dengan krisis dalam pengurusan pasukan dimana sehingga kini kongres tahunan persatuan itu masih belum diadakan.
Bagi saingan musim 2019, MFL telah mengenakan sekatan geran tahunan kepada pasukan Perlis sebagai syarat pasukan itu beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini.
Skuad Singa Utara tidak akan menerima geran selagi Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) belum menjelaskan tunggakan gaji dalam tempoh 60 hari daripada tarikh yang sudah ditetapkan.
Baca Juga: Harap Syazwan Memanfaatkan Peluang – Yusri Che Lah