MFL Sedia Tendang Pasukan Bermasalah
- Liga Perdana, Liga Super
- Feb 19, 2019
- No comment
Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedia untuk menyingkirkan mana-mana pasukan bermasalah terutamanya dari segi pembayaran gaji pemain daripada saingan Liga Malaysia musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menegaskan keputusan untuk menyingkirkan mana-mana pasukan bermasalah boleh diambil oleh Lembaga Pengarah MFL sekiranya terdapat bukti bahawa kewangan pasukan berkenaan tidak mampu untuk membiayai mereka bagi meneruskan saingan dalam liga.
Kevin turut menjelaskan keputusan tersebut tidak hanya diambil ke atas pasukan Perlis sahaja memandangkan pasukan itu dilaporkan berdepan masalah kewangan serius.
“Secara amnya keputusan untuk menyingkirkan sesuatu pasukan bukan saja Perlis, tapi mana-mana pasukan. Keputusan itu boleh diambil Lembaga Pengarah, jadi saya tidak mahu komen ke atas Perlis secara spesifik.
“Kita perlu ambil serius mengenai apa-apa hukuman yang bakal diberikan ke atas pasukan kerana kena lihat semua aspek bukan saja aspek gaji tertunggak, tapi apa akan terjadi terhadap kontrak pemain, apa akan jadi kepada penaja yang sudah bagi tajaan kepada pasukan itu.
“Jadi bila ada di luar sana senang saja mengatakan buang saja pasukan (bermasalah) dari liga dan sebagainya. Orang luar atau pihak ketiga mungkin tak perlu ambil kira tanggungjawab kepada rakan kongsi (MFL), malah ia juga akan menjejaskan keyakinan untuk penaja membuat pelaburan dalam bola sepak pada masa depan,” katanya menurut laporan Berita Harian
Sebelum ini, 7 pasukan yang dipercayai berdepan dengan isu tunggakan gaji iaitu Kuala Lumpur, Melaka, Perlis, PDRM, Sarawak, Pulau Pinang dan Felda United telah menghantar dokumen berkaitan status kewangan pasukan kepada MFL.
Kevin turut mengesahkan 7 pasukan di atas juga sudah menghantar dokumen tambahan seperti yang diminta oleh MFL dan kini pihaknya akan menyemak secara terperinci segala dokumen yang dihantar bagi mendapatkan kesahihan.
“Kita meneliti sepenuhnya dokumen yang dihantar sehingga menyemak kesahihan syarikat penaja sama ada mereka benar-benar mampu atau tidak membuat sejumlah tajaan tertentu kepada pasukan.
“Selepas itu ia akan diserahkan kepada Lembaga Pengarah untuk membuat keputusan. Mungkin esok atau selewat-lewatnya pagi Rabu kita akan dapat keputusan,” tambahnya.
Baca Juga: MFL Tidak Beri Kelonggaran