MIB Nafi Taja Pasukan Perlis Musim Ini

Kolej Malaysian Integrated Business (MIB) menafikan mereka menaja pasukan Perlis dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

MIB yang diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, G Raaj Kumar berkata pihaknya hanya mengadakan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dengan membenarkan skuad Piala Belia serta Piala Presiden Perlis untuk berlatih di pusat latihan di Janda Baik, Pahang.

Menurut Raaj, MIB mengambil alih pusat latihan tersebut dengan tujuan meningkatkan lagi mutu serta corak permainan para pemain dan ianya tidak ada kena-mengena dengan bekas presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie.

“Kami ambil alih tempat itu pada Oktober lalu untuk meningkatkan lagi mutu pemain namun ia tidak ada kaitan dengan bekas presiden.

“Saya juga mahu jelaskan yang kami bukan penaja mereka tetapi kami hanya jalinkan kerjasama. Pihak kami tidak beri komitmen daripada segi kewangan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Ketika ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah menolak pendaftaran Piala Belia dan Presiden Perlis kerana kekurangan pemain dan semua pemain sudah dikeluarkan daripada venue berkenaan Sabtu lalu.

Raaj Kumar turut menegaskan Hasmawi Hassan juga hanya dipinjamkan kepada PFA dan apa yang berlaku sekarang menjadi pengajaran berguna untuk pihaknya supaya lebih berhati-hati dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana pasukan khususnya pasukan bola sepak.

“Ini kali pertama kami buat kerjasama dengan pasukan dengan harapan dapat membantu pembangunan pemain. Apa yang terjadi adalah sebaliknya yang dilihat boleh merosakkan reputasi kami terutamanya dalam kalangan ibu bapa,” tambahnya.

Selain MIB, syarikat penerbangan, Malindo Air sebelum ini turut menafikan mereka menaja pasukan Perlis musim ini.

Seorang pengguna Facebook telah menghantar pesanan kepada Malindo dan bertanya sama ada mereka benar menaja pasukan Perlis ataupun sebaliknya. Malindo membalas dengan kenyataan mereka tidak menaja Perlis dan PFA meletakkan logo mereka di hadapan jersi pasukan kerana pasukan itu menggunakan khidmat syarikat penerbangan itu jika bertandang bagi menghadapi perlawanan di tempat lawan.


Sumber Gambar: Pemilik gambar

Baca Juga: Abdul Karim Khan Buat Laporan Polis

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *